Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
GADONG, Rabu, 18 November. - Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Jawatankuasa Kosmetik ASEAN (ACC) Kali Ke-44 serta Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan yang berlangsung di Centrepoint Hotel, di sini, bermula dari 16 hingga 20 November 2026.
Program selama lima hari itu menghimpunkan lebih 140 peserta, termasuk pihak pengawal selia dari 10 Negara Anggota ASEAN, wakil Persatuan Kosmetik ASEAN (ACA), ahli industri kosmetik yang diiktiraf dari Negara-negara Anggota ASEAN serta wakil Sekretariat ASEAN.
Majlis Perasmian Mesyuarat ACC Kali Ke-44 telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Awang Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud pada Majlis Pembukaan dan Makan Malam mesyuarat berkenaan.
Dalam ucapannya, Awang Haji Adi Ihram menekankan penilaian keselamatan bahan karsinogenik, mutagenik atau toksik terhadap pembiakan (CMR) yang digunakan dalam produk kosmetik sebagai salah satu perkara utama yang diberikan tumpuan dalam mesyuarat berkenaan.
Beliau turut menegaskan kepentingan Negara-negara Anggota ASEAN untuk sentiasa berwaspada dalam mengenal pasti dan menangani sebarang potensi isu keselamatan yang berkaitan dengan bahan ramuan kosmetik, khususnya yang relevan dengan rantau ASEAN.
Mesyuarat ACC dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan memberi tumpuan kepada pemantauan pelaksanaan Arahan Kosmetik ASEAN (ASEAN Cosmetic Directive) di seluruh Negara-negara Anggota ASEAN, penelitian terhadap keselamatan bahan ramuan yang digunakan dalam produk kosmetik serta pembangunan kaedah pengujian produk kosmetik.
Pada 2 September 2003, Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN telah menandatangani Perjanjian Mengenai Skim Kawal Selia Kosmetik Terharmoni ASEAN (ASEAN Harmonized Cosmetic Regulatory Scheme - AHCRS).
Perjanjian tersebut bertujuan untuk memperkukuh kerjasama antara Negara-negara Anggota ASEAN dalam memastikan keselamatan, kualiti dan manfaat yang dituntut bagi produk kosmetik yang dipasarkan di ASEAN, di samping menghapuskan halangan perdagangan produk kosmetik melalui penyelarasan keperluan teknikal.
Mesyuarat Badan Saintifik Kosmetik ASEAN (ASEAN Cosmetic Scientific Body - ACSB) Kali Ke-44 dan Mesyuarat Jawatankuasa Makmal Pengujian Kosmetik ASEAN (ASEAN Cosmetic Testing Laboratory Committee - ACTLC) Kali Ke-27 telah berlangsung pada 16 hingga 17 November 2026.
Seterusnya, Mesyuarat Ketua-Ketua Delegasi ACC Kali Ke-44 akan diadakan pada 19 November 2026, manakala Mesyuarat ACC Kali Ke-44 akan berlangsung pada 19-20 November 2026.
Semasa Mesyuarat ACC tersebut, Pengarah Jabatan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan, Kementerian Kesihatan, Republik Kesatuan Myanmar, Dr. Tin Wah Wah Win akan menyerahkan jawatan Pengerusi kepada Pengarah IV, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Filipina, Ana Trinidad Rivera.
Sementara itu, Pemangku Pengarah, Cawangan Produk Kesihatan Komplementari, Republik Singapura, Lee Hui Keng, akan mengambil alih jawatan Naib Pengerusi.
Negara Brunei Darussalam sekali lagi menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan Negara-negara Anggota ASEAN, pihak industri kosmetik serta Sekretariat ASEAN di bawah Skim Kawal Selia Kosmetik Terharmoni ASEAN (AHCRS) bagi memastikan keselamatan, kualiti dan manfaat yang dituntut bagi produk kosmetik yang dipasarkan di rantau ASEAN.