Oleh : Rohani Haji Abdul HamidFoto : Azmah Haji Ahad
MERANGKING, Ahad, 13 September. - Penduduk Kampung Merangking dan kawasan sekitarnya memanfaatkan hujung minggu dengan mengunjungi Tamu Jati Kampung Merangking anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Merangking, hari ini.
Tamu Jati Kampung Merangking yang berlangsung di Balai Ibadat Kampung Merangking itu merupakan tamu bulanan yang lazimnya diadakan sekali dalam sebulan.
Ketua Kampung Merangking, Awang Nurulizam bin Abdul Rahman berkata bahawa memandangkan ketika ini merupakan musim buah-buahan, pihaknya mengambil inisiatif untuk mengadakan Tamu Jati Kampung Merangking pada setiap hujung minggu sehingga musim buah berakhir.
"Tamu Jati Kampung Merangking secara mingguan ini bertujuan memberikan peluang kepada penduduk Kampung Merangking untuk memasarkan hasil-hasil kebun mereka, khususnya buah-buahan dan sayur-sayuran, selain jualan makanan dan minuman.
"Pada masa yang sama, ia juga dapat memberikan peluang kepada penduduk kampung memperoleh pendapatan sampingan melalui hasil usaha dan kebun masing-masing," jelas beliau.
Menurut beliau lagi, Tamu Jati Kampung Merangking turut mendapat sambutan menggalakkan daripada petamu dan pengunjung dari luar kampung, termasuk dari Daerah Tutong serta Daerah Brunei dan Muara.
"Kehadiran pengunjung dari luar Kampung Merangking bukan sahaja bertujuan untuk membeli-belah, malah turut memberikan peluang kepada mereka untuk mengeratkan hubungan silaturahim, mengenali kawasan pedalaman serta menikmati suasana tamu yang terdapat di kawasan pedalaman, khususnya di Tamu Jati Kampung Merangking," ujarnya.
Beliau turut melahirkan rasa syukur atas sambutan yang menggalakkan terhadap penganjuran Tamu Jati yang diadakan secara berturut-turut sejak minggu lalu.
Melalui penganjuran berkenaan, Tamu Jati Kampung Merangking akan dapat diteruskan dari semasa ke semasa sebagai satu platform bagi mempromosikan hasil dan produk kampung, di samping memberikan peluang kepada penduduk kampung menjana pendapatan sampingan melalui hasil kebun dan jualan masing-masing.
Selain itu, tamu berkenaan diharap akan terus menjadi wadah dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk kampung dengan pengunjung dari luar yang berkunjung ke kawasan pedalaman.