Oleh: Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin
Foto: Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BERAKAS, Selasa, 8 September. - Kepentingan mensyukuri nikmat menjadi sebahagian daripada umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Umat Islam hendaklah sentiasa bersyukur atas nikmat menjadi umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, yang telah berjuang dengan penuh pengorbanan dalam menyebarkan dan mempertahankan agama Allah Subhanahu Wata’ala.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Pegawai Ugama, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji ‘Abdul Mu’iz bin Haji Amat semasa menyampaikan Ceramah Khasnya pada Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) serta jabatan-jabatan, autoriti dan pihak berkuasa di bawahnya bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi, bertempat di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan MTIC, di sini.
Awang Haji ‘Abdul Mu’iz dalam ceramahnya yang bertajuk 'Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Suluh Akidah' berkenaan turut menyentuh mengenai cara Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mendidik dan membentuk generasi para sahabat yang teguh iman dan akhlaknya sehingga mampu meneruskan misi dakwah ke seluruh pelosok dunia.
Dalam hubungan ini, jelasnya lagi, umat Islam bertanggungjawab untuk menghargai, mensyukuri dan menghayati perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan mengamalkan ajaran Baginda serta meneruskan usaha dakwah dalam kehidupan seharian mengikut kapasiti masing-masing.
Hadir ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos, selaku tetamu kehormat majlis.
Juga hadir, Setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua eksekutif, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua bahagian, pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan MTIC berserta jabatan-jabatan, autoriti dan pihak berkuasa di bawahnya.
Majlis juga diserikan Persembahan Dikir Asyraqal oleh gabungan pendikir MTIC.
Majlis tahun ini dikelolakan oleh MTIC dan merupakan aktiviti tahunan MTIC dalam menyemarakkan hari kelahiran Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping memperkukuh penghayatan terhadap sirah dan akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga kementerian serta jabatan-jabatan, autoriti dan pihak berkuasa di bawahnya.