Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 29 Ogos. – Pengurniaan bintang kebesaran dan pingat negara bukan sekadar menjadi lambang penghargaan atas jasa dan sumbangan yang telah dicurahkan, malah menjadi suntikan semangat serta dorongan kepada para penerima untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi, integriti dan tanggungjawab demi pembangunan Negara Brunei Darussalam (NBD).
Pengurniaan Bintang-bintang Kebesaran NBD sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun berlangsung petang tadi di Balai Singgahsana Indera Kenchana, Istana Nurul Iman, penuh bermakna, dengan sejumlah penerima menerima pengiktirafan atas jasa dan sumbangan masing-masing dalam pelbagai bidang.
Antara penerima yang menzahirkan rasa syukur ialah Ar. Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman, yang menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Ketiga (S.M.B).
Ar. Siti Rozaimeriyanty yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung ASEAN Inter-Parliamentary Assembly dari 2023 hingga 2025, selain merupakan Principal dan Rakan dalam Eco Bumi Arkitek and Partners, menyifatkan pengurniaan berkenaan sebagai satu penghormatan dan penghargaan yang amat besar, khususnya bagi mereka yang berkecimpung dalam sektor swasta.
Menurutnya lagi, pengiktirafan berkenaan merupakan penghargaan terhadap khidmat bakti yang telah dicurahkan, tanpa mengira sama ada dalam sektor kerajaan mahupun swasta.
Beliau yang baharu sahaja kembali dari Jakarta, Republik Indonesia selepas berkhidmat selama tiga tahun sebagai Setiausaha Agung ASEAN Inter-Parliamentary Assembly turut menyifatkan tanggungjawab berkenaan sebagai satu penghormatan untuk membawa nama NBD ke peringkat serantau.
Ar. Siti Rozaimeriyanty berharap pengurniaan bintang berkenaan akan menjadi contoh dan tauladan, khususnya kepada golongan wanita yang berkecimpung dalam sektor pembinaan dan bidang profesional yang selama ini banyak didominasi oleh kaum lelaki.
Tambahnya lagi, pengiktirafan berkenaan juga mencerminkan pentingnya memperkasa peranan wanita agar terus berani memainkan peranan utama dalam bidang profesional dan perkhidmatan, seterusnya menyumbang kepada kemajuan negara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta Majlis Mesyuarat Negara atas pengiktirafan yang diberikan.
Sementara itu, Pemangku Pengarah Radio Televisyen Brunei (RTB), Awang Cheong Chee Keong, yang mula berkhidmat di RTB pada 12 September 1994, turut menzahirkan rasa syukur atas pengurniaan Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Keempat (P.S.B).
Beliau menyifatkan pengurniaan berkenaan sebagai satu penghargaan yang amat bermakna dalam perjalanan kerjayanya dan bukan semata-mata pencapaian peribadi, malah turut mencerminkan penghargaan terhadap rakan-rakan sejawat yang bersama-sama memberikan sumbangan melalui dedikasi, kerjasama berpasukan dan komitmen sepanjang tempoh perkhidmatan dalam sektor awam.
Awang Cheong Chee Keong juga berharap pengiktirafan berkenaan menjadi sumber inspirasi untuk terus melaksanakan amanah dengan penuh integriti, profesionalisme dan rasa tanggungjawab, di samping terus menyumbang kepada pembangunan negara.
Dalam masa yang sama, beliau berhasrat untuk terus membimbing generasi baharu penjawat awam agar sentiasa mengutamakan kecemerlangan dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dan negara.
Turut menerima pengiktirafan ialah Pemangku Penolong Pengarah Pusat Da’wah Islamiah (PDI), Pengiran Hajah Haslina Suriani binti Pengiran Haji Piut, yang dikurniakan Darjah Seri Ugama Islam NBD Darjah Kelima (P.U.B).
Beliau menzahirkan rasa syukur dan mengakui tidak menyangka diberikan peluang untuk menerima pengiktirafan berkenaan yang disifatkannya sebagai satu penghormatan amat bermakna.
Jelasnya lagi, pengurniaan berkenaan menjadi pendorong untuk terus meningkatkan usaha, motivasi dan komitmen dalam melaksanakan segala tanggungjawab serta amanah sebagai seorang penjawat awam.
Pengiran Hajah Haslina Suriani juga menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas pengurniaan berkenaan, di samping merakamkan penghargaan kepada kedua-dua ibu bapa serta suami yang sentiasa menjadi tunjang kepada kejayaan dan pencapaian yang diraih.
Sementara itu Awang Abd. Ajihis bin Haji Terawih, yang turut menerima P.S.B menzahirkan rasa penuh kesyukuran atas pengurniaan berkenaan.
Beliau yang telah berkhidmat sejak 1990 dan kini bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, menyifatkan bintang yang diterima sebagai satu penghargaan yang menjadi pendorong dan motivasi untuk terus memberikan khidmat serta komitmen dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
Menurutnya lagi, pengiktirafan berkenaan juga merupakan simbol kepercayaan dan amanah yang perlu dijunjung serta dipikul dengan sebaik-baiknya sepanjang tempoh perkhidmatan dalam sektor awam.
Pengurniaan bintang kebesaran dan pingat negara kepada para penerima bukan sahaja mengiktiraf jasa, pengorbanan dan sumbangan mereka dalam bidang masing-masing, malah menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh semangat berkhidmat, meningkatkan mutu perkhidmatan serta menyumbang kepada kesejahteraan dan pembangunan NBD.
Pengiktirafan berkenaan juga diharap dapat menjadi inspirasi kepada seluruh warga Perkhidmatan Awam, profesional dan sektor swasta untuk terus memberikan yang terbaik, menjunjung amanah serta memainkan peranan masing-masing dalam merealisasikan aspirasi negara.