Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Ihsan Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 21 September. – Pencapaian akademik terutama sekali penuntut Tahun 11 Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab (SMSUA) terus diberi perhatian sebagai pemangkin untuk meningkatkan motivasi dan menyemarakkan semangat mereka dalam menghadapi cabaran pendidikan, khususnya menjelang peperiksaan awam nanti.
Sehubungan itu, Majlis Penyampaian Hadiah Insentif dan Keputusan Qualifying Exam Penuntut Tahun 11 SMSUA telah diadakan di dewan sekolah berkenaan, di sini.
Majlis berkenaan disertai oleh guru-guru Tahun 11, para penuntut Tahun 11 serta ibu bapa dan penjaga penuntut, sekali gus mencerminkan kerjasama erat antara pihak sekolah dan keluarga dalam menyokong perkembangan serta kecemerlangan akademik para penuntut.
Hadir menyampaikan hadiah insentif kepada para penuntut berkenaan, Pengetua SMSUA, Dayang Hajah Rosiah binti Haji Gharif.
Penyampaian hadiah berkenaan bukan sahaja sebagai penghargaan terhadap usaha dan pencapaian para penuntut, malah menjadi suntikan semangat agar mereka terus berusaha dengan lebih gigih, meningkatkan disiplin pembelajaran serta menetapkan sasaran yang lebih tinggi dalam perjalanan akademik masing-masing.
Keputusan peperiksaan penilaian (Qualifying Exam) turut menjadi salah satu kayu pengukur yang sememangnya penting bagi menilai tahap persediaan penuntut sebelum melangkah ke peringkat peperiksaan seterusnya.
Dalam pada itu, penglibatan ibu bapa dan penjaga pada majlis berkenaan turut memperlihatkan kepentingan sokongan keluarga sebagai antara faktor yang membantu membentuk keyakinan, motivasi dan kesungguhan penuntut dalam mencapai kecemerlangan.
Majlis berkenaan diharap dapat menyemarakkan budaya menghargai pencapaian serta mendorong para penuntut Tahun 11 SMSUA untuk terus berusaha, memperkukuh penguasaan ilmu dan memberikan prestasi terbaik demi mencapai aspirasi pendidikan mereka.