BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 23 September. - Bagi memohon kelancaran, ketenangan dan kejayaan dalam menghadapi peperiksaan, seramai 238 penuntut Tahun 8 dan Tahun 11 Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab (SMSUA) menyertai Majlis Solat Hajat dan Membaca Surah Yaa Siin yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan.
Majlis tersebut diadakan sebagai salah satu usaha pihak sekolah dalam memberikan sokongan serta membina kekuatan rohani dalam kalangan para penuntut yang bakal menduduki peperiksaan penting tidak lama lagi.
Acara dimulakan dengan Solat Hajat yang diimamkan oleh salah seorang tenaga pengajar sekolah tersebut, Awang Mohammad Asbliee bin Haji Mohammad Ali, yang turut mengetuai bacaan Surah Yaa Siin serta memimpin bacaan doa.
Bagi penuntut Tahun 8, mereka akan menduduki Student Progress Examination, manakala penuntut Tahun 11 bakal menghadapi Peperiksaan GCE ‘O' Level dan IGCSE, yang menjadi antara penentu penting dalam perjalanan akademik mereka.
Selain persediaan dari segi akademik, pengisian berbentuk kerohanian seperti ini diharap dapat menyemai keyakinan, ketenangan dan sikap berserah kepada Allah Subhanahu Wata'ala setelah segala usaha dan persediaan dilakukan.
Pihak sekolah turut menaruh harapan agar para penuntut sentiasa memberikan tumpuan, berusaha dengan bersungguh-sungguh serta memanfaatkan segala ilmu yang telah dipelajari sebagai bekalan menghadapi peperiksaan.
Semoga dengan usaha, doa dan tawakal yang dipanjatkan, para penuntut Tahun 8 dan Tahun 11 akan dipermudahkan dalam menjawab setiap soalan serta dikurniakan keputusan yang cemerlang demi mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan masa depan masing-masing. Usaha diperkasa, doa dipanjatkan dan kejayaan diharapkan.