Siaran Akhbar dan Foto : Pejabat Peguam Negara
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 24 September. - Bersempena dengan Minggu Penguatkuasaan Harta Intelek yang diraikan setiap tahun oleh Ahli Negara-Negara ASEAN di bawah naungan ASEAN Network of Intellectual Property Enforcement Experts (ANIEE), Pejabat Harta Intelek Brunei (BruIPO) telah menganjurkan seminar bertajuk 'Digital and Online Intellectual Property Infringement and Enforcement' pada hari ini di Dewan Jubli Emas, Bangunan Undang-Undang dan Mahkamah-Mahkamah, Pejabat Peguam Negara.
Seminar berkenaan bertujuan untuk memberikan kefahaman yang lebih mendalam kepada para peserta mengenai landskap penguatkuasaan Negara Brunei Darussalam (NBD), cabaran-cabaran semasa dalam persekitaran digital dan langkah-langkah praktikal untuk menangani pelanggaran harta intelek di persekitaran dalam talian.
Seminar berkenaan juga bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama antara agensi-agensi kerajaan, pemegang hak, pengamal undang-undang, perniagaan, dan pengguna dalam melindungi inovasi dan kreativiti dalam talian.
Acara berkenaan dirasmikan oleh Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib, selaku Pendaftar Tanda Perniagaan, Paten dan Reka Bentuk Perindustrian.
Yang Berhormat menekankan tanggungjawab bersama bagi melindungi harta intelek dalam pasaran digital serta kepentingan penguatkuasaan harta intelek dan adalah diperakui bahawa teknologi baru khususnya Kecerdasan Buatan (AI), memberikan peluang dan cabaran, sekali gus menimbulkan persoalan baharu mengenai pemilikan, kesahihan dan akauntabiliti.
Sehubungan itu, Yang Berhormat menegaskan tentang keperluan kerjasama serantau dan antarabangsa bagi menangani pelanggaran rentas sempadan secara berkesan.
Penceramah dari BruIPO, Bahagian Keadilan Jenayah dari Pejabat Peguam Negara, serta penceramah jemputan dari Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Persatuan Undang-Undang NBD, Jabatan Harta Intelek Thailand dan Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO), berkongsi pandangan mengenai landskap penguatkuasaan di NBD, pendekatan-pendekatan praktikal dalam menangani pelanggaran dalam talian serta kesan teknologi baru seperti AI, dan kepentingan kerjasama antara pihak berkepentingan dalam membina suatu pasaran digital yang dipercayai.
Seminar berkenaan yang dihadiri oleh para peserta daripada agensi-agensi kerajaan, sektor perundangan dan pihak berkepentingan lain yang berkaitan, menegaskan bahawa perlindungan harta intelek dalam era digital merupakan suatu tanggungjawab bersama.
Seminar tersebut juga mengukuhkan komitmen BruIPO untuk memperkukuh kerjasama dan keupayaan penguatkuasaan bagi menangani pelanggaran harta intelek digital dan rentas sempadan, di samping meningkatkan keyakinan terhadap pasaran digital.
Melalui kerjasama dan perkongsian ilmu yang berterusan antara pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan, NBD dapat memupuk suatu persekitaran yang membolehkan inovasi dan kreativiti berkembang bagi manfaat perniagaan, pengguna dan masyarakat secara keseluruhannya.