Semai, pupuk semangat cintai Al-Quran dalam kalangan pelajar

20 Sep 2026 - 5:05am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

PULAIE, Sabtu, 19 September. - Awang Md. Nur Taufiq Shauqi bin Haji Sofian dari Sekolah Menengah Berakas dan Dayangku Wajihah binti Pengiran Khairul Nazri dari Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna masing-masing muncul sebagai johan bagi Kategori Lelaki dan Perempuan pada Peringkat Akhir Pertandingan Hafazan Surah-surah Pilihan Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab-maktab Senegara Tahun 2026 Masihi / 1448 Hijrah yang berlangsung di Dewan Persidangan Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Kampung Pulaie, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada acara tersebut ialah Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil.

Pertandingan anjuran Bahagian Kegiatan Kerohanian, Jabatan Pendidikan Kokurikulum Kementerian Pendidikan itu didahului dengan peringkat saringan yang diadakan selama dua hari iaitu pada 26 dan 27 Ogos 2026, dengan penyertaan daripada 16 buah sekolah menengah kerajaan dan swasta.

Seramai 40 pelajar menyertai peringkat saringan berkenaan, terdiri daripada 22 pelajar lelaki dan 18 pelajar perempuan. Daripada jumlah tersebut, empat pelajar yang memperoleh markah tertinggi bagi setiap kategori mara ke peringkat akhir pertandingan.

Pertandingan tersebut bertujuan untuk mendedahkan para pelajar kepada budaya menghafaz Al-Quran, di samping memupuk amalan membaca surah-surah berkenaan sebagai rutin harian serta menghayati fadilat yang terkandung dalam amalan tersebut.

Selain itu, pertandingan berkenaan turut bertujuan meningkatkan keupayaan para pelajar dalam menghafaz surah-surah pilihan dengan fasih, serta memperkasa hafazan dan bacaan surah-surah pilihan khususnya Surah Yaa Siin dan Surah Al-Mulk sebagai amalan harian.

Penganjuran pertandingan berkenaan juga diharap dapat menyemai dan memupuk semangat mencintai Al-Quran dalam kalangan para pelajar, sekali gus menggalakkan mereka menjadikan bacaan dan hafazan Al-Quran sebagai sebahagian daripada amalan kehidupan seharian.