Siaran Akhbar dan Foto : Sekolah Fairview
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 13 September. - Sekolah Fairview telah mengadakan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah bagi memperingati kelahiran Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pengarah Urusan Sekolah Fairview, Dato Seri Laila Jasa Haji Ahmad bin Dato Paduka Matnor.
Tetamu jemputan majlis, Pengarah Eksekutif Akademik, Sekolah Fairview, Datin Paduka Hajah Fatimah binti Dato Paduka Haji Mohd. Husain dan Pengarah Eksekutif Pentadbiran, Sekolah Fairview, Awang Azmin bin Dato Seri Laila Jasa Haji Ahmad.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Sayyidul Istighfar, diikuti dengan penyampaian tazkirah bertajuk ‘Menyemai Cinta Kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Melalui Akhlak Mulia’ yang disampaikan oleh Guru Ugama Sekolah Fairview, Awang Md. Abdul Aiman bin Abd. Wahab.
Seterusnya dibukakan soalan kuiz ‘Kenali Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam’ kepada murid-murid peringkat rendah. Penyampaian hadiah telah dilaksanakan oleh tetamu kehormat kepada para pemenang diadakan di Bilik Ibadat Sekolah Fairview.
Acara diserikan lagi dengan persembahan lakonan pendek ‘Mencontohi Akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam’ daripada gabungan murid Tahun 4 dan 5, diikuti dengan persembahan nyanyian daripada Tahun 1 yang bertajuk ‘Ya Nabi Salam Alaika’.
Acara diakhiri dengan persembahan murid Tahun 6 dengan mendendangkan lagu bertajuk ‘Rasulullah’ dan ditutup dengan bacaan Doa Selamat oleh Awang Faqih Jalaluddin bin Fauzi Zen Syukri.
Sambutan yang diadakan diharap dapat menguatkan lagi rasa cinta dan kasih para murid kepada junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta memperkukuhkan lagi jati diri murid dengan menghayati perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta mengharungi perjalanan kehidupan dan mengambil pedoman daripada peristiwa- peristiwa keagamaan yang berlaku sebagai panduan.
Tujuan majlis diadakan adalah untuk menyemai rasa cinta dan kasih sayang kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, selain menghayati perjuangan dan akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam kehidupan seharian.
Ia juga memupuk semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan warga sekolah dan melahirkan murid yang berakhlak mulia dan berilmu pengetahuan.