Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 18 September. - Seramai 76 murid Sekolah Al-Falaah yang terdiri daripada 35 murid lelaki dan 41 murid perempuan pada pagi tadi menyertai Majlis Khatam Al-Quran yang mengambil tempat di dewan Sekolah Al-Falaah, Sungai Akar, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang diselajurkan dengan haul mantan Penasihat Sekolah Al-Falaah, Allahyarham Saiyed Ibrahim Aal-Taaher Al-Husainiy berkenaan ialah, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin.
Majlis berkenaan turut diisikan dengan Sembahyang Hajat Berjemaah yang bertujuan untuk mendoakan kejayaan murid-murid Tahun 6 dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) 2026, di samping memohon kesembuhan bagi mereka yang sedang sakit, keselamatan dan kesejahteraan negara, serta penyatuan umat Islam.
Sembahyang Hajat dan doa dipimpin oleh Tamam Hasan Agha, sementara bacaan Surah Ad-Dhuha hingga Surah Al-Masad dibawakan oleh murid-murid peserta khatam disusuli dengan bacaan Surah Al-Ikhlas hingga Surah An-Naas serta tahlil ringkas oleh Anas.
Juga hadir sama pada majlis berkenaan, kakitangan Sekolah Al-Falaah, murid-murid Tahun 6, murid-murid Kelas Hujung Minggu serta para ibu bapa murid.