Santuni anak yatim dengan keikhlasan, kasih sayang

27 Nov 2026 - 7:40am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Alishahrin Haji Momin

TUTONG, Khamis, 26 November. - Majlis Perundingan Kampung Panchor, Tutong (MPKPT) malam tadi menganjurkan Majlis Menyantuni Anak Yatim bertempat di Dewan Solat Utama, Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong (MHBPT), di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal, selaku Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei.

Pada majlis itu, tetamu kehormat majlis juga menyampaikan sumbangan daripada orang ramai khususnya penduduk di sekitar Daerah Tutong dan pihak jemaah MHBPT kepada seramai 20 orang anak yatim di bawah tadahan Mukim Pekan Tutong.

Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Imam MHBPT, Awang Sahibul Omar bin Haji Yusof.

Seterusnya ucapan alu-aluan daripada Ketua Kampung Panchor, Awang Mohammad Adib bin Pehin Datu Indera Setia Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Sulaiman, selaku Pengerusi Bersama Majlis.

Dalam ucapan alu-aluannya antara lain menyentuh mengenai kemuliaan yang amat tinggi dalam menyantuni dan menyayangi anak yatim.

Menurut beliau, baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, Junjungan Besar kita sendiri telah membesar sebagai seorang anak yatim dan dalam beberapa hadis sahih menjelaskan keutamaan besar dalam menyantuni dan memelihara anak yatim, di antaranya kedudukan yang dekat dengan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di syurga kelak.

Beliau menambah bahawa majlis seumpama ini adalah untuk mengingatkan kita tentang perkara yang paling bernilai dalam hidup iaitu kasih sayang yang kita kongsikan dan tangan yang sentiasa menghulurkan bantuan dan sumbangan.

Terdahulu diadakan Solat Fardu Maghrib Berjemaah, bacaan tahlil dan ceramah bertajuk 'Menyantuni Anak Yatim' oleh penceramah undangan iaitu Penolong Kaunselor, Jabatan Penjara, Awang Fariszal bin Ali.

Ceramah beliau menggesa kita untuk benar-benar memahami apakah maksud menyantuni anak-anak yatim, yang bukan sekadar memberi bantuan berbentuk kewangan atau material, tetapi diiringi dengan keikhlasan dan kasih sayang.

Anak-anak yatim, tambahnya, hendaklah disantuni mengikut kehendak agama Islam dengan niat yang betul, semata-mata kerana Allah Subhanahu Wata'ala dengan mengharapkan keredaan-Nya.

Di samping itu, dalam menyantuni mereka, katanya, kita perlu sentiasa menjaga kewajipan dan suruhan agama, bukan mengabaikannya dan sentiasa mensyukuri nikmat rezeki yang Allah Subhanahu Wata'ala kurniakan.

Acara diteruskan dengan Solat Fardu Isyak Berjemaah.

Majlis Menyantuni Anak-anak Yatim adalah bersempena Sambutan Jubli Intan MHBPT 60 Tahun.

Ia diadakan sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab sosial komuniti terhadap anak-anak yatim di sekitar Mukim Pekan Tutong. Melaluinya juga dihasratkan untuk memupuk nilai kasih sayang dan semangat membantu golongan yang memerlukan, di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak penganjur dengan masyarakat setempat.