ReCAAP ISC Cluster Meeting 2026 platform perkongsian maklumat keselamatan maritim

26 Sep 2026 - 5:37am

Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 25 September. - Negara Brunei Darussalam (NBD) baru-baru ini, telah menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Regional Cooperation Agreement on Combating Piracy and Armed Robbery against Ships in Asia Information Sharing Centre (ReCAAP ISC) Cluster Meeting 2026 yang berlangsung pada 22 hingga 23 September lalu, anjuran bersama Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Pusat Penyelarasan Maritim Kebangsaan (PPMK), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Mesyuarat berkenaan dihadiri oleh wakil-wakil dari NBD, Kerajaan Kemboja, Republik Rakyat China, Republik Indonesia, Republik Filipina, Kerajaan Thailand dan Republik Sosialis Viet Nam bagi membincangkan perkembangan semasa serta isu-isu berkaitan keselamatan maritim di rantau ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pembukaan mesyuarat berkenaan, Pesuruhjaya Polis, PPDB, Dato Paduka Seri Awang Sulaiman bin Alidin.

Turut hadir, Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Undang-Undang), JPM, Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad; Timbalan Pesuruhjaya Polis, PPDB, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Dato Seri Pahlawan  Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris; Pemangku Pengarah Gerakan, Penolong Pesuruhjaya Polis, Awang Haji Hamri Aslan bin Haji Abu Hanafiah; Pengarah Eksekutif, ReCAAP ISC, Dr. Vijay Digambar Chafekar; dan Pengarah Pusat Penyelarasan Maritim Kebangsaan (PPMK), JPM, Komander Malek Fadillah bin Pehin Datu Juragan Laila Diraja Dato Seri Pahlawan Haji Kefli, serta pegawai-pegawai kanan dan para peserta mesyuarat.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah Gerakan, PPDB, diikuti dengan ucapan pembukaan dan perasmian mesyuarat oleh Pengarah Eksekutif ReCAAP ISC.

ReCAAP ISC Cluster Meeting 2026 menyediakan platform kepada negara-negara peserta untuk berkongsi maklumat, pandangan dan pengalaman, di samping memperkukuh kerjasama dalam menangani cabaran keselamatan maritim yang menjadi kepentingan bersama.

Antara perkara utama yang dibincangkan semasa mesyuarat berkenaan ialah situasi semasa serta usaha-usaha berterusan untuk mengurangkan risiko kegiatan lanun dan rompakan bersenjata terhadap kapal. Perbincangan berkenaan turut memberi peluang kepada negara-negara peserta untuk berkongsi perspektif, pengalaman dan usaha masing-masing dalam menangani ancaman berkenaan, di samping mengenal pasti pendekatan yang dapat menyumbang ke arah meningkatkan keselamatan dan perlindungan kapal serta para pelaut, sekali gus mewujudkan persekitaran maritim yang lebih selamat di rantau ini.

Penganjuran ReCAAP ISC Cluster Meeting 2026 di NBD mencerminkan kepentingan kerjasama dan perkongsian maklumat dalam menangani cabaran keselamatan maritim yang merentasi sempadan negara.

Melalui perbincangan dan pertukaran pandangan antara negara-negara peserta, mesyuarat berkenaan bertujuan untuk terus memperkukuh hubungan kerja, persefahaman bersama serta usaha kolektif dalam mendukung keselamatan dan kestabilan maritim serantau.