RB meterai kontrak 12 tahun bersama Collins Aerospace

26 Sep 2026 - 5:31am

Siaran Akhbar dan Foto : Royal Brunei Airlines

REPUBLIK SINGAPURA, Jumaat, 25 September. – Collins Aerospace, sebuah perniagaan di bawah RTX (NYSE: RTX), telah memeterai dua kontrak selama 12 tahun dengan Royal Brunei Airlines (RB) bagi menyediakan perkhidmatan FlightSense™ dan DispatchSM untuk armada Boeing 787 milik syarikat penerbangan tersebut, termasuk pesawat sedia ada dan akan datang.

Penyelesaian ini akan meningkatkan kecekapan operasi syarikat penerbangan, mempertingkatkan kebolehpercayaan serta mengoptimumkan jadual penyelenggaraan bagi beberapa sistem, termasuk avionik, kargo, bekalan kuasa elektrik, kawalan persekitaran dan pencahayaan.

FlightSense dan Dispatch menyediakan jaminan ketersediaan komponen, mengurangkan masa henti operasi serta memberikan kebolehramalan kos melalui model perkhidmatan berkadar tetap. Di bawah perjanjian jangka panjang tersebut, Collins akan menyediakan penyelenggaraan berasaskan ramalan dan kebolehpercayaan bagi mengoptimumkan prestasi sistem avionik, di samping sokongan aset dan logistik serta akses kepada alat ganti yang diperakui dan komponen yang telah dibaiki.

“Penyelesaian selepas jualan kami terus memberikan nilai yang signifikan kepada pengendali Boeing 787 di rantau Asia Pasifik.

“Dengan ekosistem data bersepadu melalui FlightSense serta penyelenggaraan avionik secara proaktif yang disokong di peringkat global melalui Dispatch, RB akan berada pada kedudukan yang kukuh untuk mencapai prestasi armada yang tinggi.” Jelas Naib Presiden Aftermarket, Power & Controls, Collins Aerospace, Jen Latka.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kolonel Norsuriati binti Haji Sharbini, “Seiring usaha kami untuk terus mengoptimumkan operasi dan memperkukuh rangkaian perkhidmatan, mengekalkan armada Boeing 787 yang sangat dipercayai dan cekap kekal sebagai keutamaan utama RB”.

Penyelesaian FlightSense dan Dispatch daripada Collins Aerospace menyediakan keupayaan penyelenggaraan ramalan yang canggih, kepakaran teknikal serta sokongan global yang akan membantu memaksimumkan ketersediaan armada, meningkatkan kecekapan operasi dan mempertingkatkan kebolehramalan kos jelasnya.

Tambahnya, perjanjian ini mengukuhkan komitmen kami terhadap kecemerlangan operasi, meminimumkan gangguan serta membolehkan kami terus menyediakan pengalaman perjalanan yang selamat, lancar dan boleh dipercayai kepada para penumpang kami.

FlightSense merupakan program sokongan penyelenggaraan sepanjang kitar hayat yang menyediakan penyelesaian penyelenggaraan yang disesuaikan dengan keperluan operasi syarikat penerbangan.

Program ini dikuasakan oleh platform analitik Ascentia® milik Collins, yang mengumpul, menganalisis dan mentafsir berjuta-juta titik data pesawat bagi mengenal pasti trend prestasi, mencadangkan tindakan penyelenggaraan serta menyediakan maklumat yang dapat meningkatkan operasi armada.