Rasulullah teladan utama dalam memantapkan pegangan akidah umat Islam

11 Sep 2026 - 6:51am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 10 September. – Dalam usaha Jabatan Mufti Kerajaan (JMK) menghidupkan Projek Memasyarakatkan Fatwa, satu sesi Forum Irsyad Hukum telah diadakan bersempena Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi bertemakan  'Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Suluh Akidah'.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.

Turut hadir, Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain@Maidin; Penolong Mufti (Buhuth), Dato Seri Setia Dr. Haji Mazanan bin Haji Yusof; dan Penolong Mufti (Ifta'), Dato Seri Setia Dr. Haji Dennie bin Haji Abdullah, serta pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan JMK.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Buhuth, Awang Haji Martino@Abdul Azim bin Haji Ahmad.

Acara kemudiannya diteruskan dengan Sesi Forum Irsyad Hukum yang dipengerusikan oleh Pegawai Istinbat, Awang Abdul Hafiy bin Yahya.

Forum berkenaan menampilkan dua panel, iaitu Ketua Buhuth, Dr. Haji Mas Reduan bin Haji Jumat selaku panel pertama, manakala Pegawai Istinbat, Dayang Hajah Azalinah binti Haji Zainal Abidin selaku panel kedua.

Sesi forum berkenaan mengupas tema  'Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Suluh Akidah'  dengan memberi penekanan terhadap peranan keperibadian dan ajaran Baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai teladan utama dalam membimbing serta memantapkan pegangan akidah umat Islam.

Perbincangan turut menyentuh mengenai pengorbanan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam menyelamatkan manusia daripada kegelapan syirik kepada cahaya iman dan tauhid, yang sewajarnya dijadikan sebagai panduan dalam menjalani kehidupan, khususnya dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa.

Bagi menyemarakkan lagi majlis, acara turut diserikan dengan persembahan Dikir Marhaban yang dibawakan oleh pegawai dan kakitangan JMK di bawah pimpinan Pegawai Buhuth, Awang Mohammad Hilmi bin Yakop.

Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan bacaan Doa Selamat oleh Awang Haji Martino @ Abdul Azim bin Haji Ahmad.

Forum berkenaan diadakan bagi meraikan dan menyemarakkan Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam yang memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dan merupakan antara Hari Kebesaran Islam yang disambut di Negara Brunei Darussalam.

Rakaman Forum Irsyad Hukum berkenaan juga akan disiarkan menerusi rancangan televisyen dan Rangkaian Nur Islam, Radio Televisyen Brunei (RTB).

Orang ramai turut berpeluang mengikuti rakaman berkenaan melalui laman YouTube rasmi JMK dan seksyen podcast di laman sesawang rasmi JMK di  ‘www.mufti.gov.bn’, setelah siaran berkenaan diterbitkan oleh RTB.