Rasulullah suluh akidah, panduan membentuk akhlak mulia

13 Sep 2026 - 6:30am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 12 September. - Bila kita menyebut Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam suluh akidah, sebenarnya kita sedang bercakap tentang seorang insan yang membawa manusia daripada kegelapan kepada cahaya, daripada kesesatan kepada petunjuk, dan daripada menyembah berhala kepada menyembah Allah Subhanahu Wata'ala.

Baginda merupakan ‘qudwah’, iaitu contoh ikutan atau tauladan dalam kehidupan. Cinta kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sepatutnya membawa kita kepada satu tahap yang lebih tinggi, iaitu mengikuti ajaran dan sunnah Baginda dalam kehidupan.

Demikian antara inti pati tazkirah bertajuk 'Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Suluh Akidah : Dari Penghayatan Kepada Pengamalan' yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dayang Siti Ramziah binti Haji Mohamad Ramli, bagi menyerikan Malam Munajat Khas untuk Wanita Ke-41 anjuran KHEU Kali Ke-246 pada malam tadi.

Pertama, menurutnya iaitu penghayatan bermula dengan mengenali Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Kita mesti dan wajib mengenali Baginda melalui sirah, akhlak, perjuangan dan sunnah Baginda sebagai asas kepada penghayatan.

"Kedua, penghayatan diterjemahkan kepada pengamalan. Adakah akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sudah terlihat dalam kehidupan kita?.

"Dan ketiga, membawa suluh akidah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam kehidupan seharian. Kita tidak boleh hanya mengenang Baginda dalam bulan Rabiulawal sahaja, tetapi kenalilah Baginda sepanjang hayat dengan menghidupkan sunnah Baginda dan menerapkan akhlak Baginda dalam diri kita.

"Kerana Bagindalah suluh akidah yang menerangi hati dan membimbing akhlak kita," ujarnya lagi.

Menyemarakkan Program Malam Munajat berkenaan ialah para Muslimah dan jemaah Masjid Kampung Bengkurong, Daerah Brunei dan Muara. Turut menyertai ialah Muslimah dan jemaah daripada beberapa buah masjid seluruh negara serta warga kerja wanita di bawah KHEU dan individu yang mengikuti program berkenaan secara maya dari kediaman masing-masing.

Atur cara Munajat malam berkenaan dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Dayang Hajah Norhidayah binti Haji Daud, Muslimah Masjid Kampung Bengkurong. Diikuti dengan bacaan Surah As-Sajdah beramai-ramai dipimpin oleh Ketua Muslimah Masjid Kampung Bengkurong, Dayang Hajah Asmah binti Haji Sulaiman.

Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh tenaga pembimbing Kelas Muslimah Masjid Kampung Bengkurong, Dayang Aimi Amalina binti Haji Abdullah. Sejurus selesai tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Dayang Hajah Suritti binti Haji Sabli, Muslimah Masjid Kampung Bengkurong. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Dayang Hajah Norhidayah binti Haji Daud, Muslimah Masjid Kampung Bengkurong.

Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.

Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan ‘http://tiny.cc/munajatkheuwanita’.