Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Mohammad Hasif Matzin
BERAKAS, Selasa, 22 September. - Ke arah memastikan kelancaran Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam (NBD) Ke-36, Tahun 2026, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) mengadakan Raptai Penuh di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), hari ini.
Hadir bagi menyaksikan raptai penuh berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh.
Turut hadir semasa raptai tersebut ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Majlis Sambutan Hari Guru NBD Ke-36 akan diadakan pada Rabu, 23 September 2026 bertempat di Dewan Plenary, ICC, Berakas.
Sambutan tahun ini membawa tema 'Guru Pemangkin Pendidikan Lestari dan Inovasi' dengan subtema 'Mendidik dengan Hikmah, Membimbing Generasi Harmoni dan Berinovatif'.
Seperti lazimnya, acara kemuncak Sambutan Hari Guru ialah pengurniaan Anugerah-Anugerah Hari Guru sebagai penghargaan atas sumbangan dan jasa para pendidik di negara ini.
Sambutan tersebut turut diselajurkan dengan Pameran Hari Guru yang bertemakan 'Mendidik dengan Hikmah, Membimbing Generasi Harmoni dan Berinovatif'.
Raptai juga turut dihadiri oleh Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU dan Kementerian Pendidikan serta Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari Guru NBD Ke-36, Tahun 2026.
Sehubungan itu, Cuti Khas sempena Sambutan Hari Guru NBD Ke-36, Tahun 2026 akan diberikan kepada semua sekolah di NBD, termasuk institusi-institusi pengajian tinggi di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan KHEU iaitu pada Rabu, 23 September 2026.