Program Sua Muka bariga isu semasa, dasar kerajaan

30 Og 2026 - 7:54am

Siaran Akhbar : Jabatan PeneranganFoto : Hernie Suliana Haji Othman

BELAIT, Sabtu, 29 Ogos. - Dalam usaha untuk menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa, dasar kerajaan dan dalam masa yang sama untuk menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Daerah Belait, Bahagian Komunikasi Strategik mengadakan Program Sua Muka bersama Kampung Pandan 'F', Mukim Kuala Belait, Daerah Belait bertempat di Dewan Intisar, Pejabat Daerah Belait, Jabatan Daerah Belait, hari ini.

Hadir mengetuai rombongan Jabatan Penerangan ialah Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini. Manakala bagi pihak Kampung Pandan 'F' diketuai oleh Awang Hazrul Faizal bin Haji Zinni. Turut hadir, pegawai-pegawai dari Jabatan Penerangan dan juga Pusat Kebangsaan E-Kerajaan.

Program dimulakan dengan mukadimah daripada ketua rombongan di mana beliau menekankan mengenai peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan apa jua maklumat yang terkini, dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat dan penduduk di negara ini melalui beberapa landasan yang antara lain ialah Program Sua Muka dan juga melalui terbitan akhbar rasmi Pelita Brunei.

Selain itu jelasnya lagi, Program Sua Muka adalah salah satu program di bawah strategi kerja Jabatan Penerangan iaitu Komunikasi Bersemuka yang dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan dengan membarigakan maklumat dan mengendalikan program hubungan masyarakat yang dapat menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan mukim atau kampung.

Dalam ucapan balas ketua kampung menyentuh mengenai kepentingan program ini sebagai wadah yang efektif untuk beramah mesra, bertukar pandangan serta mendengar secara langsung isu, pandangan dan keperluan masyarakat di akar umbi, sekali gus menjalin hubungan masyarakat dengan pihak kerajaan.

Program juga diisikan dengan penyampaian maklumat kepada penduduk-penduduk kampung daripada Jabatan Penerangan mengenai 'Penyebaran Maklumat Palsu' yang telah disampaikan oleh Pemangku Ketua Bahagian Komunikasi Strategik, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim.

Manakala, taklimat daripada Pusat Kebangsaan E-Kerajaan mengenai 'BruneiID' yang telah disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Awang Muhammad Amir Azizi bin Haji Shukry.

Program Sua Muka turut diisikan dengan sesi dialog bersama penduduk kampung mengenai isu-isu yang dibangkitkan, yang antara lain berkaitan dengan prasarana, ekonomi, keselamatan dan kemudahan awam.