Program Sentuhan Ihsan santuni komuniti memerlukan

9 Sep 2026 - 6:41am

Siaran Akhbar dan Foto : Majlis Perundingan Mukim Berakas ‘B’

BERAKAS, Selasa, 8 September. - Program Sentuhan Ihsan : Menyantuni Komuniti anjuran Mukim Berakas ‘B’ diteruskan hari ini melalui kunjungan kebajikan ke sebuah keluarga yang memerlukan perhatian dan sokongan di Kampung Sungai Hanching.

Kunjungan tersebut disertai oleh Penghulu Mukim Berakas ‘B’, Awang Haji Syed Mohd. Yassin bin Haji Syed Anayatullah Shah bersama Pemangku Ketua Kampung Sungai Hanching dan Kampung Salambigar, Awang Mohamad Sukairi bin Haji Abd. Rahman.

Keluarga yang disantuni berkenaan pada masa ini berhadapan dengan pertambahan jumlah penghuni rumah selepas menerima beberapa ahli keluarga yang terjejas akibat kejadian kebakaran pada bulan Jun lalu untuk tinggal bersama mereka.

Sehubungan itu, Penghulu Mukim dan Ketua Kampung (PMKK) Mukim Berakas ‘B’ mengambil inisiatif menghulurkan sumbangan berupa barangan keperluan asasi bagi membantu meringankan sebahagian beban yang ditanggung oleh keluarga tersebut.

Program Sentuhan Ihsan merupakan antara usaha berterusan Mukim Berakas ‘B’ dalam mendekati masyarakat, memahami keadaan mereka serta mengenal pasti penduduk yang memerlukan perhatian, bantuan dan sokongan sewajarnya.

Inisiatif berkenaan turut mencerminkan komitmen kepimpinan akar umbi dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dengan penuh ihsan, kebersamaan dan keprihatinan, selain memastikan kebajikan masyarakat sentiasa diberikan perhatian.

Program tersebut akan terus diperkasakan sebagai wadah untuk menyantuni golongan yang memerlukan, selaras dengan cogan kata ‘Sentuhan Ihsan, Keprihatinan Menghidupkan Harapan’.

Orang ramai yang mengetahui mana-mana penduduk Mukim Berakas ‘B’ yang memerlukan bantuan atau perhatian dialu-alukan untuk menghubungi Ketua Kampung masing-masing atau menyampaikan maklumat melalui media sosial rasmi Mukim Berakas ‘B’.