Oleh : Khartini Hamir
Foto : Ihsan Pusat Da’wah Islamiah
SUNGAI KEBUN, Jumaat, 13 November. - Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Belia, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU awal pagi tadi menganjurkan Program Rehlah Ilmiah bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi bertempat di Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun yang dihadiri oleh seramai 150 orang peserta.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, juga selaku Penghulu Mukim Lumapas.
Program Rehlah Ilmiah tersebut dianjurkan dengan tujuan untuk mempergiatkan pelaksanaan program-program bercorak keugamaan bersempena dengan hari-hari kebesaran Islam melalui penglibatan golongan belia di negara ini.
Selain itu, program tersebut juga antara lain bertujuan untuk melahirkan modal insan yang berteraskan Calak Brunei, berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Waljamaah serta Mazhab Imam Syafi’i.
Di samping itu, program ini dihasratkan dapat mempelbagaikan metodologi dakwah kepada golongan belia selaras dengan perkembangan semasa, membina jati diri yang berteraskan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB), serta memupuk rasa cinta terhadap masjid melalui usaha mengimarahkan masjid sebagai pusat kegiatan keugamaan dan kemasyarakatan.
Penganjuran program ini juga merupakan salah satu usaha untuk memberikan motivasi dan bimbingan kepada para belia agar melibatkan diri dalam kegiatan keugamaan melalui pendekatan yang betul dan bersesuaian, seterusnya bersama-sama menyemarakkan syiar Islam di negara ini.
Dalam hubungan ini, penganjuran program berkenaan turut mengambil perhatian terhadap titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, semasa Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di United Kingdom dan Ireland bagi Tahun 1438H/2016M, pada Khamis, 22 Disember 2016.
Antara petikan titah baginda adalah, “…Namun, bukan tidak pernah berlaku orang berkumpul atas nama ugama atau dengan nama-nama lain yang ada kaitan dengan ugama, seperti menggunakan nama Al-Quran, atau Perkumpulan Al-Quran, atau nama Usrah, atau nama Pemuda Iman, atau nama Belia Da’ie dan seumpamanya. Tetapi ‘cara’ mereka itu tidak betul dan boleh diragui…”
Sehubungan itu, adalah diharapkan agar Program Rehlah Ilmiah 1448H/2026M ini akan dapat mencapai objektifnya serta memberikan manfaat kepada semua peserta yang hadir.
Program ini juga diharap dapat mengeratkan ukhuwah dalam kalangan belia keugamaan, di samping menyemai semangat kerjasama dan tanggungjawab untuk terus berganding bahu dalam menyemarakkan syiar Islam.
Usaha ini seterusnya diharap dapat menyumbang ke arah merealisasikan hasrat negara untuk menjadi sebuah Negara Zikir, selaras dengan hasrat dan kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.