DBM juara Regu, MS PPDB ungguli Quadrant sepak takraw SKBD

14 Nov 2026 - 8:13am

Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

SUNGAI KEBUN, Jumaat, 13 November. - Daerah Brunei dan Muara (DBM) muncul juara sepak takraw Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) Ke-V, Tahun 2026 bagi Kategori Regu, manakala Kategori Quadrant menjadi milik Majlis Sukan Pasukan Polis Diraja Brunei (MS PPDB).

Hadir selaku tetamu kehormat pada perlawanan akhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Sungai Kebun, di sini, dan seterusnya menyempurnakan penyampaian pingat kepada para pemenang, ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

Dalam perlawanan akhir Kategori Regu, Pasukan DBM berjaya menundukkan MS ABDB dengan keputusan 15 - 8, 12 - 15 dan 15 - 9.

Susulan kemenangan tersebut, Pasukan DBM meraih pingat emas, diikuti MS ABDB dengan pingat perak, manakala Pasukan Daerah Belait dan MS PPDB berkongsi pingat gangsa.

Terdahulu, dalam perlawanan akhir kategori Quadrant, Pasukan MS PPDB merangkul pingat emas selepas menewaskan DBM dengan keputusan 12 - 15, 8 - 15, manakala Pasukan Daerah Temburong dan MS ABDB berkongsi pingat gangsa.

Sehubungan itu, acara sepak takraw merupakan antara sukan yang dipertandingkan dalam SKBD Ke-V, Tahun 2026 yang membawa tema 'Bersama Mengejar Kegemilangan', sekali gus menjadi platform bagi para atlet untuk memperlihatkan keupayaan, meningkatkan prestasi serta menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan kontinjen yang bertanding.

Acara berkenaan juga diharap dapat menyemarakkan lagi pembangunan sukan sepak takraw di negara ini, di samping mencungkil bakat-bakat baharu yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Dalam pada itu, kejohanan melalui SKBD juga berperanan sebagai platform untuk mengenal pasti bakat atlet yang berpotensi, khususnya dalam kalangan belia, sebagai persediaan mewakili negara ke kejohanan sukan berprestij di peringkat serantau dan antarabangsa.