Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BERAKAS, Jumaat, 13 November. - Sukan Olahraga Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) Ke-V, Tahun 2026 diteruskan dengan penyampaian pingat kepada para pemenang bagi beberapa acara padang dan balapan yang dipertandingkan, baru-baru ini.
Acara Larian Relay 4x100m Kategori Wanita, pasukan daripada kontinjen Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam (MS SSBD) meraih pingat emas, diikut dengan kontinjen Pasukan Daerah Brunei dan Muara (DBM) mendapat pingat perak seterusnya pingat gangsa diraih oleh kontinjen Pasukan Daerah Tutong.
Manakala, Kategori Lelaki pula, Pasukan DBM tampil menguasai acara tersebut untuk mendapatkan pingat emas, Pasukan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) dan MS SSBD masing-masing memperoleh perak dan gangsa.
Bagi Acara Larian Relay 4x400m Kategori Wanita pula, Pasukan MS SSBD menambah lagi kutipan emas, manakala pingat perak pula diraih oleh Pasukan DBM dan Pasukan Daerah Tutong meraih pingat gangsa.
Bagi Kategori Lelaki, Pasukan Daerah Tutong berjaya merangkul pingat emas, Pasukan MS SSBD terpaksa akur dengan kalungan pingat perak dan Pasukan MS ABDB membawa pulang pingat gangsa.
Berangkat bagi menyempurnakan majlis penyampaian pingat kepada pemenang, Presiden Persekutuan Olahraga Kebangsaan Brunei Darussalam (BDAF), Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Mu'min ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.
Terdahulu, hadir bagi menyampaikan pingat kepada pemenang bagi Acara Lontar Peluru Kategori Lelaki dan Lompat Kijang Kategori Lelaki ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.
Pasukan MS ABDB menambahkan lagi kedudukan emas bagi Acara Lontar Peluru tersebut diikuti dengan Pasukan Daerah Temburong dan Daerah Tutong masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.
Acara Lompat Kijang Kategori Lelaki pula, Pasukan DBM berjaya memperoleh pingat emas dan pingat perak manakala MS SSBD berjaya meraih pingat gangsa.