Program NIHONGO Partners adakan pertukaran kebudayaan, pendidikan

9 Sep 2026 - 6:35am

Siaran Akhbar dan Foto : Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 8 September. - Program NIHONGO Partners anjuran The Japan Foundation telah mengadakan Siri Pertukaran Kebudayaan dan Pendidikan di Negara Brunei Darussalam (NBD) bermula 31 Ogos hingga 5 September lalu dengan menghimpunkan para NIHONGO Partners dari Jepun, Guru-guru Bahasa Jepun tempatan, para pelajar serta institusi-institusi pendidikan.

Program tersebut bertujuan untuk meningkatkan persefahaman bersama serta memperkukuh hubungan antara rakyat Jepun dan negara-negara di Asia melalui pendidikan Bahasa Jepun dan interaksi kebudayaan.

Sebagai sebahagian daripada lawatan ke NBD, seramai tujuh orang NIHONGO Partners dan dua wakil daripada The Japan Foundation telah menyertai pelbagai kegiatan di beberapa buah institusi pendidikan dan organisasi dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.

Sepanjang lawatan tersebut, para NIHONGO Partners telah mengadakan kunjungan ke beberapa buah sekolah menengah, termasuk Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajjah Mariam dan Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam. Mereka turut mengadakan lawatan ke Brunei-Japan Friendship Association – Universiti Teknologi Brunei Chapter dan BENKYOU Centre.

Lawatan tersebut memberikan peluang kepada para pelajar dan guru untuk mempelajari kebudayaan Jepun serta asas Bahasa Jepun melalui aktiviti interaktif seperti memakai yukata, permainan tradisional Jepun dan tarian.

Dalam masa yang sama, para NIHONGO Partners berpeluang mengenali kebudayaan tempatan, termasuk Persembahan Gulintangan, juadah tempatan dan pakaian tradisional, yang diperkenalkan oleh para pelajar.

Pada 3 September, para NIHONGO Partners telah mengadakan kunjungan hormat kepada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke NBD, Tuan Yang Terutama Kikuta Yutaka di Kediaman Rasmi Duta Besar dan berkongsi pengalaman mereka sepanjang berada di NBD. Manakala pada 4 September, mereka telah mengadakan Sesi Pelaporan di Kedutaan Jepun bagi membentangkan hasil dan dapatan sepanjang lawatan tersebut.

Program NIHONGO Partners anjuran The Japan Foundation terus memainkan peranan dalam memperkukuh hubungan antara Jepun dan negara-negara di Asia melalui sokongan terhadap pendidikan Bahasa Jepun serta penyediaan peluang bagi pertukaran dan interaksi antara budaya.