Program Dakwah sempena Maulidur Rasul

3 Sep 2026 - 6:34am

Siaran Akhbar dan Foto : Kolej Univesiti Perguruan Ugama Seri Begawan

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 2 September. - Surah Al-Kahfi mengajar kita cara mengukuhkan iman melalui empat kisah utama yang menjadi benteng daripada fitnah akhir zaman. Surah ini disunatkan untuk dibaca pada Jumaat untuk mendapat cahaya petunjuk.

Pengajaran daripada surah ini ialah mengajak manusia kembali kepada Al-Quran sebagai panduan hidup, memperingatkan bahawa kehidupan dunia ini hanyalah ujian dan perhiasan sementara. Oleh itu, hendaklah sentiasa memohon perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala daripada pelbagai fitnah.

Dalam pada itu, Surah Yusuf pula merupakan salah satu kisah Al-Quran yang menggabungkan hikmah kepimpinan serta perancangan ekonomi yang panjang. Ia menunjukkan kepentingan pengurusan sumber, kewangan, makanan dan keperluan hidup secara berhemah.

Malah, ia juga mendidik kita berkaitan dengan empat prinsip utama iaitu merancang ketika senang; berjimat ketika lapang; bersabar ketika susah dan sentiasa bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata’ala sepanjang masa.

Perkara tersebut dikongsikan dalam Program Dakwah Melalui Tadabbur Al-Quran dan Al-Hadith di Jabatan-jabatan Kerajaan Negara Brunei Darussalam, Sesi Khas sempena Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam 1448 Hijrah, yang diadakan pagi tadi bertempat di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI).

Dihadiri oleh pegawai dan kakitangan KEPI, ‘Tadabbur Surah Al-Kahfi’ disampaikan oleh Pengarah Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljama’ah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Awang Haji Matussein bin Haji Jumat.

Manakala ‘Tadabbur Surah Yusuf : Ayat 47 - 49’ pula disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljama’ah, Awang Haji Mohd. Azmi bin Haji Omar.

Program dakwah kelolaan Fakulti Usuluddin, KUPU SB ini antara lain bermatlamat untuk memperluaskan sasaran dakwah ke seluruh negara termasuk kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan. Program ini juga bertujuan mendedahkan pegawai, kakitangan dan juga masyarakat awam dengan Tadabbur Al-Quran dan Al-Hadis sebagai rujukan kehidupan seharian.