Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Azmah Haji Ahad
JERUDONG, Jumaat, 18 September. – Dalam suasana persaingan perniagaan yang semakin sengit, khususnya dengan pertumbuhan jualan secara dalam talian, JP Mini Thrift and Acoustic yang dianjurkan oleh Jerudong Park Country Club (JPCC) tampil sebagai platform fizikal yang menghimpunkan vendor tempatan selama dua hari bagi membuka ruang kepada mereka menjana pendapatan.
Penganjuran berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada vendor memasarkan produk dan barangan jualan secara bersemuka, malah menjadi wadah untuk memperkenalkan produk tempatan kepada pengunjung dalam suasana santai dan lebih interaktif.
Berlangsung di kawasan letak kereta Jerudong Park Colonnade, acara dua hari pada 18 dan 19 September 2026 berkenaan dibukakan bagi kunjungan orang ramai bermula pukul 4.00 petang hingga 10.00 malam.
Pihak JPCC juga akan menganjurkan acara yang serupa pada 2 hingga 3 Oktober 2026 nanti di tempat yang sama.
Salah seorang vendor yang ditemui, Awang Mohammad Ariffin bin Haji Ibrahim mengongsikan, beliau menjual pelbagai jenis pakaian, merangkumi baju-baju terpakai (pre-loved) serta beberapa helai pakaian baharu.
Menariknya, kebanyakan koleksi baju terpakai yang beliau bawa adalah sebahagian daripada koleksi peribadinya sendiri yang dikumpul sejak sekian lama dan ada di antaranya diperoleh dari luar negara semasa melancong atau mencari barang-barang ‘bundle’ berkualiti tinggi.
Selain itu, beliau juga mempamerkan beberapa koleksi ‘rare items’ seperti baju fesyen retro eksklusif dan rekaan sukar didapati di pasaran tempatan biasa. Barangan ‘rare’ inilah yang selalunya menjadi buruan peminat fesyen atau para pengumpul.
Koleksi yang beliau bawa pada acara berkenaan berharga serendah BND10 hinggalah BND50.
Awang Mohammad Ariffin juga mengongsikan, selain menyertai acara luar seumpamanya, beliau juga aktif menjual produk-produknya melalui platfom media sosial TikTok melalui akaun ‘Angkal.Danish Thrift’.
Sementara itu, seorang lagi vendor yang menyertai acara berkenaan, iaitu Dayang Hamisah binti Haji Kepli, menawarkan pelbagai produk kosmetik dengan harga mampu milik.
Menurutnya, selain menjual barangan secara dalam talian melalui media sosial (BeautyOnBudget), beliau juga sering menyertai aktiviti dan acara jualan-jualan fizikal seperti berkenaan.
Juga menyertainya acara berkenaan ialah anak beliau, Dayang Nur Aliayah Umi Farzana binti Shafiee yang juga menjual produk kosmetiknya tersendiri. Orang ramai juga boleh mengunjungi media sosial TikTok ‘DoubleABeauty’ bagi melihat pelbagai produk yang dijual.
Selain aktiviti jualan, konsep acara juga diserikan dengan persembahan akustik daripada bakat-bakat tempatan untuk mewujudkan suasana lebih meriah dan menarik pengunjung bagi meluangkan masa, sekali gus memberi nilai tambah kepada pengalaman membeli-belah.
Platform sedemikian juga membuka peluang kepada vendor kecil dan usahawan baharu untuk mendapatkan pendedahan, menguji penerimaan pasaran terhadap produk mereka serta mengenal pasti keperluan dan cita rasa pelanggan.
Sehubungan itu, acara seperti JP Mini Thrift and Acoustic memberikan alternatif kepada vendor untuk berinteraksi secara langsung dengan pelanggan, memperkenalkan produk serta membina hubungan yang lebih dekat dengan komuniti.
Usaha menyokong vendor tempatan melalui acara seumpama berkenaan juga secara tidak langsung dapat membantu menggalakkan budaya membeli produk tempatan serta memperkukuh ekosistem perniagaan kecil dan sederhana.
JP Mini Thrift and Acoustic diharap dapat menjadi salah satu platform berterusan yang memberi ruang kepada vendor tempatan untuk mengembangkan perniagaan, menjana pendapatan dan terus berdaya saing dalam landskap perniagaan yang semakin dinamik.