PM Republik Singapura berlepas meninggalkan NBD

11 Okt 2026 - 5:09am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas

BERAKAS, Sabtu, 10 Oktober. - Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong dan isteri, Puan Loo Tze Lui serta rombongan berlepas meninggalkan Negara Brunei Darussalam (NBD) lewat petang tadi selepas menghadiri Sambutan Jubli Emas Hubungan Pertahanan NBD dan Republik Singapura.

Sebelum berlepas, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong dan Puan Loo Tze Lui melintasi Barisan Kawalan Kehormatan Statik yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat berlepas ialah Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman selaku Menteri Pengiring dan isteri.

Juga hadir, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan isteri serta Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof dan isteri.

Hadir sama ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Awang Sulaiman bin Alidin serta Setiausaha-Setiausaha Tetap dari JPM, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri bersama pasangan masing-masing.

Lawatan berkenaan turut menyaksikan TYT Lawrence Wong hadir menyerikan lagi acara Sambutan Jubli Emas Hubungan Pertahanan antara NBD dan Republik Singapura, yang memperingati 50 tahun hubungan kerjasama pertahanan kedua-dua negara.

Selain menghadiri sambutan tersebut, TYT Lawrence Wong turut menyaksikan penyerahan empat buah Kenderaan Serangan Kebakaran Ringan, yang dikenali sebagai Red Rhino kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat NBD.

Penyerahan kenderaan berkenaan mencerminkan usaha berterusan kedua-dua negara dalam memperkukuh kerjasama, khususnya dalam bidang pertahanan dan keselamatan demi kepentingan bersama.