Platform PMKS tempatan ketengahkan produk kreatif

19 Sep 2026 - 6:49am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 18 September. - IN:STALL Brewtopia : The Social Market kini kembali lagi pada tahun ini dengan mengumpulkan pelbagai lapisan masyarakat dan peminat gaya hidup tempatan dalam acara yang berlangsung selama empat hari bermula dari 17 hingga 20 September 2026.

Acara anjuran future.brands berkenaan bertempat di Sports Hub, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Ia menjadi platform utama bagi Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) tempatan untuk mengetengahkan produk kreatif mereka kepada orang ramai.

Sejak hari pertama pembukaannya, suasana ‘market’ berkenaan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada para pengunjung.

Acara berkenaan menghimpunkan pelbagai keunikan di bawah satu bumbung, termasuklah jualan kopi premium, minuman matcha, pastri segar, kraf tangan buatan tempatan, pakaian jalanan (streetwear), serta jualan barangan vintaj dan ‘thrift’.

Bagi memberikan peluang kepada orang ramai berkunjung, ‘market’ berkenaan dibukakan bermula pukul 12.00 tengah hari hingga 10.00 malam, kecuali pada Jumaat, operasi jualan bermula pada pukul  2.00 petang hingga 10.00 malam.

Orang ramai yang ingin memberikan sokongan kepada produk dan usahawan tempatan adalah dialu-alukan untuk hadir memeriahkan lagi acara berkenaan yang akan berakhir pada Ahad ini.