Oleh : Aimi Sani
Foto : Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 27 Ogos. - Pusat Pekerjaan Brunei (PPB) di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) telah mengadakan Hari Terbuka PPB 2026 kali kedua pada tahun ini, yang bertujuan sebagai satu platform membarigakan secara langsung program-program dan inisiatif-inisiatif yang ditawarkan oleh PPB dengan lebih lanjut.
Acara selama satu hari ini menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan kerjaya yang bermanfaat untuk para pencari kerja tempatan yang berpeluang untuk mendaftar akaun melalui Portal PPB, mendapatkan tip penyediaan Curriculum Vitae (CV) dan persediaan temu duga daripada Jurulatih Kerjaya Bertauliah (Certified Career Coaches) PPB.
Selain itu, para pencari kerja tempatan juga berpeluang untuk mendapatkan konsultasi pemadanan pekerjaan dan mengetahui dengan lebih lanjut mengenai peluang-peluang perantisan serta peningkatan kemahiran yang ditawarkan oleh PPB.
Acara turut membawakan beberapa syarikat yang aktif menawarkan peluang-peluang pekerjaan sebagai peluang untuk mengetahui lebih lanjut mengenai jawatan dan berinteraksi bersama wakil-wakil syarikat.
Sementara itu, Aktiviti Career Discovery juga diadakan sepanjang acara, di mana para pencari kerja tempatan dan pengunjung berpeluang mempelajari asas bahasa isyarat bersama wakil daripada Jari-Jariku atau meneroka laluan kerjaya sebagai seorang pemandu pelancong bersama Sumbiling Eco Village.
Di samping itu, pengunjung juga berpeluang mendengarkan sesi forum bersama wakil-wakil daripada Kementerian Kewangan dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Brunei Darussalam (BICPA) serta sesi perkongsian daripada Jurulatih Kerjaya daripada Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dalam mendapatkan pandangan dan pengetahuan yang berguna dalam kesiapsiagaan para pencari kerja tempatan menghadapi pasaran pekerjaan semasa.
Hari Terbuka PPB 2026 telah diadakan di Hab Sukan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas dari pukul 9.00 pagi hingga 4.00 petang dan telah dihadiri oleh seramai 203 orang.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai PPB, ikuti akaun Instagram dan saluran Telegram rasmi Pusat Pekerjaan Brunei @jobcentrebrunei atau menghubungi talian +673 2444100 dan Hotline +673 7291785.