Oleh : Nurdiyanah Rajami
Foto : Ihsan Pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Brunei dan Muara
LAMBAK KANAN, Rabu, 25 November. - Dengan hasrat untuk mencungkil lagi pelbagai bakat baharu di samping mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli, Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Brunei dan Muara (DBM) baru-baru ini turut tidak ketinggalan memanfaatkan masa lapang bersama dengan penganjuran Pertandingan Dart dan Permainan Tradisi Brunei yang diadakan di Dewan Legar PKWE DBM, Jalan 77, Lambak Kanan.
Acara dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Awang Haji Abu Bakar bin Burut dan diteruskan dengan membaling dart oleh Pengurus PKWE DBM, Awang Haji Mohd. Yussof bin Mohd. Salleh sebagai menandakan bermulanya perlawanan.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi sama-sama menyaksikan kemeriahan acara, diikuti dengan penyempurnaan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Penghulu Mukim Berakas ‘B’, Awang Haji Syed Mohd. Yassin bin Haji Syed Anayatullah Shah.
Aktiviti riadah tahunan bersempena Majlis Sambutan Hari Keluarga Tahun 2026 ini merupakan penganjurannya kali ke-5 yang melibatkan ahli-ahli PKWE DBM yang sekali gus menjadi salah satu platform terbaik untuk menguji tahap kemahiran masing-masing.