Budayakan sikap gemar membaca dalam masyarakat

26 Nov 2026 - 8:39am

Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 25 November. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melangkah setapak lagi ke hadapan dengan Majlis Pembukaan Rasmi Sudut Bacaan DBP Ke-16 yang berlangsung petang tadi di Hab Ilmu Asrama An Na’im dan As Sa’adah di Pusat Pembangunan Belia (PPB), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan perasmian berkenaan ialah Pemangku Pengarah DBP, Dayang Hajah Haireni binti Awang Haji Damit.

Perkhidmatan Sudut Bacaan merupakan salah satu perkhidmatan yang ditawarkan oleh Perpustakaan DBP dalam usaha meluaskan lagi jangkauannya kepada orang ramai dengan menyediakan bahan-bahan bacaan di tempat-tempat strategik dan mudah diakses oleh orang ramai dan para pencinta buku.

Antara objektif utama perkhidmatan ini ditubuhkan adalah untuk melestarikan pembelajaran sepanjang hayat ke arah melahirkan rakyat Brunei yang bermaklumat, berkemahiran dan berpengetahuan.

Selain itu, perkhidmatan ini bertujuan untuk menggalakkan dan membudayakan sikap gemar dan suka membaca dalam kalangan masyarakat tidak kira di mana sahaja mereka berada sama ada di pusat-pusat akademik, tempat-tempat komersial, bangunan-bangunan kerajaan dan persatuan dan sebagainya.

Sudut bacaan di PPB ini menyediakan bahan bacaan dalam bahasa Melayu dan Inggeris yang merangkumi pelbagai bidang seperti pengetahuan am, pembangunan sendiri, kemahiran hidup, keusahawanan, kreativiti serta bahan bacaan santai yang sesuai dengan minat dan keperluan belia.

Sebanyak lebih kurang 300 buah bahan disediakan di kedua-dua asrama di pusat berkenaan dan ditukar setiap tiga bulan mengikut keperluan dan kehendak semasa.

Perkhidmatan Sudut Bacaan DBP merupakan kolaborasi dan kerjasama antara DBP dengan PPB dalam menyediakan bahan-bahan bacaan khusus bagi para pelatih atau pelajar, bertujuan untuk memupuk minat membaca, meningkatkan pengetahuan serta memperkaya penguasaan bahasa dalam kalangan pelatih.

Inisiatif ini juga diharapkan dapat mewujudkan persekitaran asrama yang kondusif, di samping menggalakkan budaya membaca sebagai amalan harian dan menjadikan bahan bacaan sebagai sumber rujukan serta ilmu pengetahuan.