Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
TUNGKU LINK, Khamis, 24 September. - Pasukan Phyto muncul juara pertandingan Building Intelligent Machines (BIM): AI Gauntlet Challenge 2026 yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi Brunei (UTB).
Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah bagi pertandingan berkenaan berlangsung pagi tadi di Ruang Concourse, Blok F, UTB.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Naib Canselor UTB, Profesor Madya Pengiran Dr. Mohamad Iskandar bin Pengiran Haji Petra, dan Naib Presiden serta Country Chair Shell Companies in Brunei Darussalam, Henry Bistrol.
BIM: AI Gauntlet Challenge 2026 menghimpunkan para pelajar UTB untuk mengaplikasikan pengetahuan, kreativiti dan kemahiran dalam menyelesaikan masalah menerusi siri cabaran praktikal yang melibatkan Kecerdasan Buatan (AI) dan sistem pintar.
Pertandingan berkenaan turut memberikan peluang kepada para peserta untuk membangunkan penyelesaian inovatif, memperlihatkan keupayaan bekerja secara berpasukan serta menangani cabaran dalam situasi di bawah tekanan (‘under pressure’).
Sebanyak enam pasukan menyertai pertandingan tersebut, iaitu Projek J.A.R.V.I.S, Triple T, Mantap, The Agents, ALGO-MECH17 dan Phyto.
Sepanjang pertandingan, para peserta turut diberikan penghargaan atas semangat, kerjasama berpasukan, kreativiti, keazaman serta kemahiran menyelesaikan masalah yang ditunjukkan dalam menghadapi setiap cabaran.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Makmal Artificial Intelligence and Machine Learning (AIML), UTB, Pengiran Muhammad Rahimi bin Pengiran Haji Zahari.
Sebelum pengumuman pemenang, majlis turut menyaksikan tayangan video sorotan aktiviti sepanjang cabaran berlangsung yang mengetengahkan usaha, cabaran dan pencapaian pasukan-pasukan yang menyertai pertandingan.
Pada majlis tersebut, Henry Bistrol turut menyampaikan sijil kepada para peserta sebagai tanda penghargaan atas penyertaan dan komitmen mereka sepanjang pertandingan.
Majlis diteruskan dengan sesi ulasan daripada panel hakim yang berkongsi pandangan mengenai pendekatan yang digunakan oleh setiap pasukan dalam menangani cabaran, keupayaan bertindak balas di bawah tekanan, kerjasama berpasukan serta pembangunan penyelesaian yang dihasilkan.
Pasukan Phyto diumumkan sebagai Johan BIM: AI Gauntlet Challenge 2026 dan menerima tajaan lawatan sambil belajar ke Centre for Artificial Intelligence and Robotics (CAIRO), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Malaysia.
Tajaan tersebut merangkumi tiket penerbangan, penginapan dan pengangkutan.
Lawatan sambil belajar berkenaan akan memberikan peluang kepada pasukan berkenaan untuk mendapatkan pendedahan lebih luas mengenai penyelidikan, inovasi dan aplikasi dalam bidang Kecerdasan Buatan serta robotik.
Tempat kedua dimenangi oleh pasukan ALGO-MECH17, dengan setiap ahli menerima baucar kursus latihan, sebuah UNIHIKER M10 dan sebuah HuskyLens.
Sementara itu, tempat ketiga disandang oleh pasukan The Agents, dengan setiap ahli menerima baucar kursus latihan, sebuah UNIHIKER K10 dan sebuah HuskyLens sebagai penghargaan atas pencapaian mereka.
Hadiah-hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Naib Canselor UTB.
BIM: AI Gauntlet Challenge 2026 mencerminkan komitmen berterusan UTB dalam memupuk inovasi, kreativiti teknologi serta pembangunan bakat yang bersedia menghadapi keperluan masa hadapan.
Inisiatif tersebut turut menyediakan peluang praktikal kepada para pelajar untuk menerokai teknologi baharu serta mengaplikasikan Kecerdasan Buatan dan sistem pintar dalam menangani cabaran dunia sebenar.
Melalui penganjuran inisiatif seumpama itu, UTB terus memperkukuh persekitaran pembelajaran berteraskan inovasi yang menggalakkan para pelajar menterjemahkan pengetahuan kepada penyelesaian praktikal, di samping membangunkan kemahiran yang diperlukan untuk menyumbang dalam dunia yang semakin didorong oleh teknologi.