Melahirkan generasi berjati diri berlandaskan Al-Quran, As-Sunnah

13 Okt 2026 - 8:10am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Azmah Haji Ahad

BERAKAS, Isnin, 12 Oktober. - Dalam usaha memartabatkan kedudukan Al-Quran sebagai sumber utama perundangan Islam, di samping meningkatkan kesedaran umat Islam untuk memahami kandungannya dalam pelbagai aspek kehidupan serta memberikan maklumat yang tepat berhubung isu-isu semasa dan salah tanggapan mengenai Al-Quran dalam era globalisasi, Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS telah menganjurkan Kursus Skim Kefahaman Al-Quran Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi (Siri II) selama empat hari, bermula pada 7 Oktober 2026 dan berakhir pada petang tadi.

Kursus berkenaan diadakan di Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Darul Itqan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), di sini.

Kursus berkenaan antara lain bertujuan untuk melahirkan generasi penerus yang berjati diri serta mampu memahami, menghayati dan mengamalkan nilai-nilai ajaran Islam secara menyeluruh berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah dalam semua aspek kehidupan.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para fasilitator dan peserta kursus, Pengarah Pentadbiran, KHEU, Awang Mohammad Zulhilmi bin Haji Omar Ali.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Awang Mohammad Farhan @ Mohammad Ali bin Alim, peserta kursus dari Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), diikuti dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit.

Acara kemudiannya diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para fasilitator, moderator dan peserta kursus yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

Seramai 46 peserta telah mengikuti kursus berkenaan, terdiri daripada pegawai-pegawai dan kakitangan (Bahagian Penapisan dan Pameran, Bahagian Kajian dan Penerbitan, Bahagian Penyebaran Da'wah dan Bahagian Media) dari Pusat Da’wah Islamiah (PDI); JHEM; Jabatan Hal Ehwal Syariah, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, dan Pasukan Polis Diraja Brunei.

Fasilitator kursus ialah Penolong Professor, Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Hajah Sarinah binti Haji Yahya.

Manakala Moderator bagi program berkenaan ialah Pembantu Kanan Perkembangan Ugama, PDI, Dayang Zannatul Mardhiah binti Awang Sulaiman.