Siaran Akhbar : Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri
Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas
NEW YORK, AMERIKA SYARIKAT, Rabu, 23 September. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Negara Brunei Darussalam mengadakan pertemuan dua hala semasa Minggu Peringkat Tinggi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Sesi Ke-81.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Republik Sosialis Viet Nam, Tuan Yang Terutama Lê Hoài Trung. Kedua pihak menegaskan semula kerjasama dua hala yang sangat baik di bawah Perkongsian Komprehensif dan mengalu-alukan sambutan ulang tahun ke-35 penubuhan hubungan diplomatik pada tahun 2027 termasuk pertukaran lawatan di peringkat tinggi. Kedua pihak juga menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dalam bidang-bidang yang berkepentingan bersama.
Duli Yang Teramat Mulia juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar Negeri, Negara Qatar, Tuan Yang Terutama Sultan bin Saad Al-Muraikhi. Kedua pihak mengalu-alukan kemesraan hubungan kerjasama dua hala yang sekian lama terjalin di antara kedua buah negara yang genap memasuki tempoh 35 tahun pada tahun 2026.
Kedua pihak bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang-bidang yang mempunyai kepentingan bersama termasuk pertukaran lawatan di peringkat tinggi, kesalinghubungan dan di pertubuhan-pertubuhan antarabangsa. Kedua pihak juga turut bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa