Persidangan perkukuh peranan kehakiman dalam bidang litigasi berkaitan iklim

22 Okt 2026 - 5:37am

Siaran Akhbar dan Foto : Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam

DENPASAR, BALI, REPUBLIK INDONESIA, Rabu, 21 Oktober. - Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Besar, Yang Arif Dato Paduka Awang Haji Abdullah Soefri bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin telah menghadiri Judicial Roundtable on Environmental and Climate Justice pada 13 Oktober 2026 melalui persidangan video dalam talian. Acara hibrid tersebut dianjurkan di Denpasar, Bali, Republik Indonesia.

Judicial Roundtable itu dianjurkan oleh Kumpulan Kerja Pendidikan dan Latihan Kehakiman Majlis Ketua-Ketua Hakim ASEAN (CACJ WG-JET), Kumpulan Kerja Keadilan Iklim CACJ, dan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP), dengan kerjasama Institut Raoul Wallenberg bagi Hak Asasi Manusia dan Undang-Undang Kemanusiaan (RWI).

Judicial Roundtable tersebut menghimpunkan para hakim dari Negara-Negara Anggota ASEAN, ahli-ahli Kumpulan Kerja CACJ, wakil-wakil daripada UNEP dan badan-badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang lain, Wakil Thailand ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), serta pakar-pakar terkemuka dalam bidang sains iklim, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang alam sekitar.

Para peserta telah membincangkan prinsip-prinsip asas sains iklim, kedaulatan undang-undang alam sekitar, serta perkembangan terkini trend litigasi berkaitan iklim di peringkat serantau dan global yang relevan kepada badan kehakiman.

Sesi-sesi perbincangan turut menyentuh cabaran utama yang dihadapi oleh para hakim dalam mengendalikan kes-kes alam sekitar, jurang keupayaan, serta peluang untuk memperkukuh pendidikan kehakiman dalam bidang litigasi berkaitan iklim, hak asasi manusia dan pemuliharaan.

Turut hadir ialah Majistret Kanan, Dayang Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid, dan Pendaftar, Awang Muzakkir bin Awang Haji Zakaria.