Oleh : Aimi Sani
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 21 Oktober. - Melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi dan penderaan seksual dalam talian memerlukan undang-undang yang berkesan, tindakan yang diselaraskan serta peningkatan kesedaran orang ramai.
Perkara berkenaan diketengahkan dalam satu ceramah yang disampaikan oleh Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib, merangkap Pendakwa Raya, yang bertajuk ‘Perspektif Negara Brunei Darussalam Mengenai Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Era Digital’ (Brunei Darussalam’s Perspective on Protecting Children In The Digital Age) yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di sini.
Ceramah berkenaan dihadiri oleh Ketua Pendakwa Raya dan Peguam Negara dari Republik Rakyat China dan Negara Anggota ASEAN, serta wakil dari Hong Kong Special Administrative Region dan Macao Special Administrative Region, yang diiringi oleh delegasi masing-masing.
Turut hadir, pegawai-pegawai dari Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), serta pensyarah dan pelajar dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Laksamana College of Business (LCB).
Ceramah berkenaan menggariskan empat tonggak utama peranan seorang pendakwa raya dalam melindungi kanak-kanak, iaitu menguatkuasakan undang-undang bagi melindungi kanak-kanak daripada penderaan dan eksploitasi; memastikan hukuman setimpal dengan keseriusan kemudaratan yang ditimbulkan; meningkatkan kesedaran orang ramai dan usaha pencegahan; serta memperkukuh kerjasama antara agensi-agensi yang berkaitan dan pada peringkat antarabangsa.
Dengan merujuk kepada rangka kerja perundangan Negara Brunei Darussalam (NBD) dan beberapa kes pendakwaan, ceramah berkenaan mengetengahkan bagaimana platform digital boleh digunakan untuk memperdaya dan mengeksploitasi kanak-kanak, memaksa mereka berkongsi imej intim serta menyebarkan bahan penderaan seksual kanak-kanak.
Turut ditekankan bahawa pelaku kesalahan mungkin terdiri daripada individu yang telah dikenali dan dipercayai oleh kanak-kanak berkenaan, dan perasaan takut, malu atau menyalahkan diri sendiri boleh menghalang kanak-kanak daripada melaporkan penderaan yang dialami.
Kesedaran orang ramai kekal sebagai aspek penting dalam usaha pencegahan. Melalui Program Kesedaran Jenayah Siber yang dilancarkan pada 2014, Pejabat Peguam Negara telah mengadakan ceramah kesedaran di sekolah-sekolah dan bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk membantu golongan muda mengenal pasti risiko dalam talian serta memahami bila mereka perlu mendapatkan bantuan.
Sebagai penutup, Yang Berhormat Peguam Negara menegaskan bahawa perlindungan kanak-kanak dalam talian merupakan tanggungjawab bersama.
Keluarga, institusi pendidikan, agensi kerajaan, penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan masyarakat secara keseluruhannya masing-masing berperanan dalam membantu memastikan keselamatan kanak-kanak, menggalakkan mereka melaporkan sebarang kebimbangan serta memastikan mereka mendapat perlindungan dan sokongan yang sewajarnya.
Ceramah berkenaan dianjurkan oleh Pejabat Peguam Negara bersempena dengan 16th China-ASEAN Prosecutors-General Conference, yang bertemakan ‘Protecting Children in the Digital Age : Harmonising Legal Frameworks and International Cooperation’.
Persidangan berkenaan dianjurkan oleh NBD dan akan dimulakan dengan sesi pleno pada esok hari.