Majlis Doa Kesyukuran sempena 40 tahun penubuhan JHES

22 Okt 2026 - 5:57am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto:  Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 21 Oktober. - Genap 40 tahun penubuhannya, Jabatan Hal Ehwal Syariah (JHES), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh pentadbiran dan pelaksanaan hal ehwal syariah di Negara Brunei Darussalam (NBD).

Sebagai tanda kesyukuran atas perkembangan dan kemajuan yang dicapai sepanjang empat dekad, JHES mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Jubli Delima 40 Tahun Penubuhan pada petang tadi di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, di ibu negara.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

Turut hadir, mantan pengarah, pegawai dan kakitangan yang pernah berkhidmat di JHES, serta pegawai dan kakitangan jabatan yang masih berkhidmat.

JHES ditubuhkan pada 21 Oktober 1986 susulan penstrukturan semula Jabatan Hal Ehwal Ugama, yang dinaik taraf menjadi KHEU.

Sejak penubuhannya, jabatan berkenaan telah memainkan peranan penting dalam pembangunan institusi syariah serta pengukuhan sistem pentadbiran keugamaan di NBD.

Pengarah pertama JHES, KHEU, Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned, yang menerajui jabatan berkenaan dari 1986 hingga 1989.

Sepanjang empat dekad, JHES telah melalui pelbagai perkembangan dari segi struktur organisasi, fungsi dan bidang tanggungjawab, selaras dengan keperluan semasa serta perkembangan pentadbiran hal ehwal ugama di negara ini.

Dalam tempoh berkenaan, jabatan terus melaksanakan tanggungjawab berkaitan hal ehwal syariah, di samping menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada masyarakat.

Pada masa ini, fungsi dan tanggungjawab JHES dilaksanakan melalui lima bahagian utama, iaitu Bahagian Pentadbiran, Bahagian Penguatkuasaan Ugama, Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, Bahagian Kawalan Makanan Halal serta Bahagian Kaunseling dan Kefahaman Agama.

Setiap bahagian berkenaan melaksanakan pelbagai fungsi yang merangkumi urusan pentadbiran, penguatkuasaan undang-undang syariah, penyediaan khidmat nasihat dan pengukuhan institusi keluarga, kawalan makanan halal, serta perkhidmatan kaunseling dan pemantapan kefahaman agama.

Sambutan Jubli Delima berkenaan merupakan tanda kesyukuran atas pencapaian dan sumbangan jabatan sepanjang 40 tahun penubuhannya. Sambutan berkenaan juga bertujuan menghargai jasa serta khidmat bakti para pegawai dan kakitangan yang telah menyumbang kepada perkembangan dan pembangunan jabatan sejak ditubuhkan.

Di samping itu, sambutan berkenaan menjadi wadah untuk memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan warga jabatan serta menyemarakkan komitmen untuk terus memberikan perkhidmatan yang berlandaskan nilai-nilai Islam, integriti dan profesionalisme.

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah, diikuti dengan bacaan Surah Yaa Siin, tahlil dan Doa Kesyukuran.

Acara kemudiannya diteruskan dengan pelancaran Pameran Jubli Delima di Bangunan JHES, Bandar Seri Begawan.