Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BERAKAS, Sabtu, 10 Oktober. - Empat buah Light Fire Attack Vehicle (LFAV) diserahkan oleh HOPE Technik Singapura kepada Brunei Engineering, Logistics and Training Solutions (BELTS) dalam majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), hari ini.
Majlis Penyerahan dan Penerimaan kenderaan berkenaan disaksikan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong.
Terdahulu, ketibaan Tuan Yang Terutama Lawrence Wong dialu-alukan oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat, Awang Azmi bin Haji Hafneh.
Dalam ucapannya, Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat menyentuh mengenai jalinan kerjasama antara JBP dengan Singapore Civil Defence Force melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah terjalin sejak 2022.
Beliau turut menyentuh mengenai projek perolehan LFAV yang mengguna pakai teknologi dari Republik Singapura, dan perolehan berkenaan dijangka dapat meningkatkan keupayaan operasi JBP, khususnya dalam memperkukuh kesiapsiagaan serta keberkesanan tindak balas terhadap situasi kecemasan.
Majlis turut diserikan dengan tayangan video mengenai HOPE Technik, iaitu sebuah syarikat kejuruteraan dan teknologi yang berpangkalan di Republik Singapura dan khusus dalam pembangunan kenderaan khas, automasi, sistem tanpa pemandu.
Tayangan berkenaan turut memberikan gambaran mengenai proses penghasilan empat buah LFAV, di samping memaparkan hubungan kerjasama dan perkongsian pengalaman yang terjalin antara kedua-dua buah negara dalam bidang berkenaan.
Tayangan video berkenaan juga mengetengahkan penglibatan 39 orang alumni pegawai JBP yang pernah mengikuti kursus di Republik Singapura, sekali gus ia mencerminkan kerjasama serta perkongsian pengetahuan yang terjalin antara kedua-dua belah pihak.
Majlis diteruskan dengan Upacara Penyerahan Replika Kunci (mock key) oleh pihak pembekal, iaitu HOPE Technik dan BELTS kepada Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat sebagai simbolik penyerahan dan penerimaan empat buah LFAV berkenaan.
Tuan Yang Terutama seterusnya berkesempatan melihat dengan lebih dekat jentera LFAV yang dipamerkan di kawasan letak kereta serta menerima taklimat ringkas mengenai keupayaan dan peralatan yang dilengkapi pada jentera berkenaan.
Turut hadir, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, pegawai-pegawai kerajaan, delegasi Republik Singapura yang mengiringi delegasi TYT Perdana Menteri Republik Singapura, Setiausaha-Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta alumni pegawai-pegawai kanan JBP yang pernah mengikuti program di Civil Defence Academy.