Raptai penuh pastikan kelancaran Konvokesyen KUPU SB Ke-16

22 Okt 2026 - 6:18am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi

TUNGKU LINK, Rabu, 21 Oktober. - Bagi memastikan kelancaran Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) Ke-16, Tahun 2026 yang akan berlangsung pada Khamis, 22 Oktober 2026, sesi raptai penuh majlis berkenaan telah diadakan hari ini di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), di sini.

Hadir bagi menyaksikan raptai penuh berkenaan, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

Turut hadir, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Majlis Konvokesyen, pegawai-pegawai eksekutif, pegawai-pegawai utama, pensyarah serta Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Konvokesyen dan para bakal graduan.

Pada Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-16, Tahun 2026 kali ini, seramai 248 bakal graduan akan menerima ijazah dan diploma dalam bidang program masing-masing.

Sebagai satu-satunya kolej universiti yang menawarkan program-program latihan dalam bidang perguruan ugama di Negara Brunei Darussalam, KUPU SB bertanggungjawab melahirkan pendidik dan pemimpin yang bertakwa, berwibawa, berakhlak mulia, berdaya saing, berpengetahuan, berfikiran terbuka, berkemahiran tinggi dan ‘marketable’.

Perkara berkenaan seiring dengan visi KUPU SB untuk menjadi institusi perguruan ugama yang unggul dalam melahirkan modal insan holistik yang memenuhi keperluan negara.