Oleh : Khartini Hamir
Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 21 Oktober. - Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) ialah sebagai wadah amal jariah dan derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta ahli kerabat baginda, sebagai tanda pemedulian dan kasih sayang baginda terhadap rakyat serta ke arah pembentukan masyarakat Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.
Sehubungan itu, YSHHB hari ini menyampaikan sumbangan keseluruhannya berjumlah BND147,861.
Majlis penyampaian sumbangan berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks YSHHB, di sini.
Kesemua sumbangan disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, selaku Pemangku Pengarah Urusan YSHHB.
Dalam usaha mendukung pembangunan belia, pendidikan dan kesejahteraan masyarakat, YSHHB turut memberikan sokongan dan menggalakkan penglibatan aktif golongan belia dalam aktiviti pembangunan diri dan kepimpinan.
Terdahulu, YSHHB menyampaikan sumbangan tajaan bagi Pembangunan Belia yang keseluruhan berjumlah BND11,300 kepada tiga pihak berikut, iaitu Pemangku Penolong Pengarah (Institut Pengajian), Jabatan Pengajian Islam (JPI), Awang Haji Mohammad Ahsanul Azmi bin Haji Sarbini, sebagai agensi menerima Sambutan Semarak Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal di bawah kelolaan JPI.
Tajaan pencetakan 100 naskhah buku sempena Sambutan Semarak Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal iaitu sebagai tanda kesyukuran atas perkembangan dan pencapaian pendidikan ugama formal sepanjang tujuh dekad, di samping menghargai jasa para pendidik, pemimpin dan pihak-pihak yang telah menyumbang kepada pemerkasaannya. Percetakan buku berkenaan dikendalikan oleh JPI, KHEU.
Seterusnya kepada Pegawai Pendidikan, Pusat Keusahawanan Inovasi, Kementerian Pendidikan, Dayangku Dianawati binti Pengiran Haji Patra, sebagai agensi menerima bagi Pusat Keusahawanan Inovasi, Kementerian Pendidikan, bagi tajaan Hadiah Pertandingan Celik-Biz (pelajar Sekolah Rendah) Kali ke-8 dan Big Start (pelajar Sekolah Menengah) Kali Ke-13, iaitu sebagai sokongan bagi memupuk minat dan kemahiran keusahawanan serta menyemai budaya inovasi dalam kalangan pelajar.
Penganjuran kedua-dua pertandingan ini memberi ruang kepada pelajar untuk mengembangkan kreativiti, meneroka idea baharu dan menghubungkan pembelajaran dengan keperluan kehidupan sebenar.
Sementara itu, penerima ketiga ialah Pengiran Fatin Nur’masayuni Safwana binti Pengiran Roslan, Pengerusi Konvensyen Pemimpin Muda, sebagai agensi menerima bagi Ar-Razaq Kifayah Management, penganjur YLC 2026.
Tajaan ini adalah bagi Konvensyen Pemimpin Muda Brunei (BYLC) 2026, di mana konvensyen ini menghimpunkan golongan belia dan pemimpin muda bersama pihak berkepentingan daripada sektor kerajaan swasta serta masyarakat.
Konvensyen berkenaan menggalakkan peserta meneliti peluang dan cabaran pembangunan negara, di samping menterjemahkan idea kepada inisiatif, program serta kerjasama yang memberikan manfaat kepada masyarakat.
Selaras dengan salah satu matlamat strategik YSHHB, iaitu Mendukung Pencapaian Taraf Sara Diri, YSHHB turut mendukung usaha kerajaan meningkatkan tahap sara diri golongan yang memerlukan bantuan melalui program keusahawanan di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan.
Skim Pembiayaan Kebajikan merupakan bantuan pengupayaan diri khusus bagi golongan sasar yang memerlukan iaitu berupa pemberian bantuan modal bagi menjalankan perusahaan berserta beberapa program dan kursus kemahiran yang bersesuaian.
Bentuk bantuan modal yang diberikan adalah mengikut kriteria dan kesesuaian pemohon seperti kewangan, material, latihan dan pemantauan.
Sehubungan itu, seramai 19 orang bakal ‘Usahawan Bakarih Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah’ menerima bantuan modal keusahawanan di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan yang keseluruhannya berjumlah BND36,600, bagi membolehkan mereka menjalankan serta mengembangkan perusahaan yang telah dirancang.
Para penerima terdiri daripada Awang Muhammad Faiz bin Metali dari Syarikat Wiiiq.G yang mengendalikan perkhidmatan bersih kawasan; Awang Abdul Qawi bin Muhammad Fadhli dari Q’alanna Enterprise bagi perniagaan makanan dan minuman; Awang Saharin bin Mohammad dari Syarikat Sarifudin yang mengendalikan perniagaan pertukangan kayu; Awang Abdul Qahar bin Kamalludin dari Artispark Group yang mengendalikan perkhidmatan gunting rambut; Awang Zulhilmi bin Tahir dari Arrazzaq Insyirah Berjaya Enterprise yang mengendalikan perniagaan makanan dan minuman.
Turut menerima bantuan ialah Awang Nur Misuari bin Sunadi dari Nirawie dan Anak-Anak bagi perniagaan makanan; Dayang Rohani binti Awang Ali dari Syarikat Leeman Berjaya juga bagi perniagaan makanan; serta Dayang Siti Suraiya binti Arsat dari Syarikat Ctzan dan Anak-Anak yang turut mengendalikan perniagaan makanan dan minuman; Dayang Masniah binti Hamdan dari Syarikat Masloni Mini Enterprise bagi perniagaan buah-buahan; Dayang Suria binti Haji Basir dari Ariesya Cook and Bake bagi perniagaan masakan dan kuih-muih.
Penerima seterusnya ialah Dayang Siti Nafeah binti Rudiwan dari Double Jj Rizqi yang mengendalikan perniagaan makanan dan minuman; Dayang Mahal binti Dullah dari Syarikat Mahal dan Anak-Anak bagi perniagaan makanan dan kuih-muih; Dayang Kartini binti Haji Karim dari Canary Couture yang mengendalikan perniagaan pakaian; Dayang Noor Syazwani binti Haji Majin dari Kayns Enterprise bagi perkhidmatan pencetakan dan reka bentuk digital; Dayang Norhidayah binti Haji Osman dari A&A Enterprise bagi perniagaan makanan; Dayang Siti Normanjalina Wati binti Abdul Rahman juga bagi perniagaan makanan; Dayang Zaitun binti Haji Ahal bagi perniagaan jualan ‘bundle’ pakaian; Dayang Jamaliah binti Haji Lawal bagi perniagaan makanan dan minuman; dan Dayang Minah binti Linong juga mengusahakan perniagaan makanan dan minuman.
Sebelum dipertimbangkan untuk menerima modal perusahaan atau perniagaan di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan, pada peserta diwajibkan untuk menjalani beberapa program latihan iaitu Program Asas Bakarih yang dirangka khas bagi memberikan kemahiran serta pengetahuan keusahawanan yang dikendalikan oleh YSHHB dengan kerjasama rakan strategik LiveWIRE Brunei.
Sejak Skim Pembiayaan Kebajikan mula dilaksanakan pada tahun 2015, seramai 174 orang Usahawan Bekarih telah berjaya dilahirkan.
Melalui bantuan modal, latihan dan pemantauan, mereka telah berjaya mengusahakan beberapa jenis perusahaan seperti makanan dan minuman, pertanian, perkhidmatan cuci kereta dan bengkel kereta, pembuatan perabot dan kraftangan dan sebagainya.