Siaran Akhbar dan Foto : Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 November. - Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam (NBD) mengalu-alukan delegasi peringkat tinggi dari Supreme People's Court (SPC) Republik Rakyat China, yang diketuai oleh Hakim dan Naib Presiden SPC China, The Honourable Mao Zhonghua dalam rangka Lawatan Kerja ke NBD baru-baru ini.
Delegasi tersebut terdiri daripada hakim kanan dan pegawai kehakiman dari SPC, the High People's Court of Beijing Municipality dan the High People's Court of Shanghai Municipality.
Dalam lawatan tersebut, delegasi dialu-alukan oleh Ketua Hakim Mahkamah Besar NBD, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong Wan Oon dan anggota Mahkamah Besar NBD.
Program dimulakan dengan taklimat mengenai Badan Kehakiman Brunei, diikuti dengan makan tengah hari dan Mesyuarat Dua Hala antara Ketua Hakim Mahkamah Besar dan The Honourable Mao Zhonghua di Mahkamah Tinggi.
Mesyuarat Dua Hala tersebut memberi peluang kepada kedua-dua badan kehakiman untuk bertukar-tukar pandangan mengenai pengukuhan kerjasama kehakiman, berdasarkan Memorandum Persefahaman antara Mahkamah Besar NBD dan SPC Republik Rakyat China, yang diperbaharui pada Februari 2025.
Perbincangan meliputi beberapa bidang kepentingan bersama, termasuk penyelesaian pertikaian komersial antarabangsa, pengantaraan dan penyelesaian pertikaian alternatif, pentadbiran kehakiman, transformasi digital dan penggunaan teknologi dalam penyampaian perkhidmatan kehakiman. Kedua-dua pihak juga meneroka peluang untuk pertukaran kehakiman selanjutnya, pembangunan profesional dan program pembinaan kapasiti untuk hakim dan pegawai kehakiman.
Sebagai sebahagian daripada program lawatan tersebut, delegasi melawat Brunei Darussalam Arbitration Centre (BDAC) dan Mahkamah Syariah.
Lawatan ini memberikan delegasi pandangan lanjut tentang landskap undang-undang NBD, termasuk rangka kerja pengantaraan dan mekanisme penyelesaian pertikaian alternatif, serta pentadbiran undang-undang syariah dalam sistem perundangan NBD.
Lawatan itu mengesahkan hubungan rapat antara kedua-dua badan kehakiman dan komitmen bersama untuk mengukuhkan kerjasama institusi melalui dialog berterusan, pertukaran pengalaman dan kerjasama dalam bidang kepentingan bersama.
Mahkamah Besar NBD menghargai hubungannya dengan SPC Republik Rakyat China dan berharap untuk membina rangka kerja kerjasama yang sedia ada.