Perkasa kemahiran siasat jenayah siber, penipuan dalam talian

26 Sep 2026 - 5:19am

Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 25 September. – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dengan kerjasama Pasukan Polis Singapura (SPF) baru-baru ini telah mengadakan Kursus Penyiasatan Jenayah Siber 2026 selama empat hari dari 21 hingga 24 September 2026 di Institut Perkhidmatan Awam (IPA).

Kursus berkenaan merupakan kesinambungan daripada pertemuan dua hala antara PPDB dan SPF yang berlangsung di Republik Singapura pada 1 September 2026 lalu.

Seramai 27 peserta dari PPDB telah mengikuti kursus yang dikendalikan oleh empat jurulatih dari SPF.

Kursus berkenaan bertujuan untuk memperkukuh pengetahuan dan kemahiran praktikal peserta dalam penyiasatan jenayah siber, penipuan dalam talian dan pengendalian bukti digital.

Sepanjang kursus, peserta didedahkan dengan asas penyiasatan jenayah siber termasuk perundangan berkaitan, kaedah mengesan aktiviti dalam talian melalui laman sesawang, e-mel dan media sosial, serta ancaman perisian hasad (malware), perisian tebusan (ransomware) dan jenayah berkaitan mata wang kripto.

Peserta juga mempelajari kaedah penyiasatan pelbagai jenis penipuan dalam talian seperti penipuan cinta, penipuan pelaburan dan pinjaman, penyamaran di media sosial serta penggunaan akaun keldai.

Selain itu, peserta turut dilatih dalam pengendalian dan pemeliharaan bukti digital di tempat kejadian, daripada peringkat penggeledahan dan penyitaan hingga pendokumentasian barang bukti. Pengetahuan yang diperoleh diaplikasikan melalui latihan praktikal dan latihan berkumpulan berasaskan senario.

Upacara penutup kursus disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Penolong Pesuruhjaya Polis Haji Azree bin Haji Abd. Manaf, di Dewan Bankuet, Mes Pegawai.

Sempena upacara berkenaan, satu taklimat bertajuk 'Pendekatan Singapura dalam Mengurus Kes Penipuan dan Jenayah Siber' telah disampaikan oleh Ketua Cawangan Latihan Siber, Cyber Command, Penguasa Polis Ong Zhi Xian; dan Pegawai Staf (Dasar Penyiasatan), Bahagian Dasar Siber, Jabatan Siasatan Jenayah, SPF, Timbalan Penguasa Polis Brandon Man.

Taklimat berkenaan turut dihadiri oleh pihak berkepentingan yang dijemput dari Jabatan Peguam Negara, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI), Unified National Networks (UNN), Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Cyber Security Brunei, Bank Islam Brunei Darussalam, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei, Bank Baiduri, Standard Chartered Bank, Maybank, RHB Bank Berhad, Datastream Digital Sdn. Bhd., Progresif Sdn. Bhd. dan Imagine Sdn. Bhd.

Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil kepada para peserta.