Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali
GADONG, Sabtu, 19 September. – Pejabat Pembangunan Kerjaya dan Jaringan Industri (OCeAN), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dengan kerjasama Girl Up BruGen, Majlis Belia Brunei (MBB), Epipeople Management & Consultancy Sdn. Bhd. serta Unit Pembangunan Kemahiran, Keusahawanan dan Inovasi (UPPKI), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UNISSA Sesi 2026/2027 telah menganjurkan Bengkel Kerjaya : ‘Lead with Clarity : Professional Writing & Workplace Skills’ yang berlangsung di Auditorium UNISSA.
Bengkel sehari berkenaan disertai seramai 40 mahasiswa dan mahasiswi serta alumni UNISSA yang bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta dalam bidang penulisan profesional, komunikasi di tempat kerja serta pembangunan kemahiran insaniah yang penting bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Program dimulakan dengan sesi pengenalan oleh Pengasas Girl Up BruGen, Dayang Nur Farisah Ihsan binti Haji Ansamawi, sebelum diteruskan dengan aktiviti sesi suai kenal yang bertujuan menggalakkan interaksi dan kerjasama dalam kalangan peserta.
Antara pengisian utama program ialah Bengkel Penyediaan Kertas Kerja (Project Proposal Workshop) yang disampaikan oleh Dayang Gwendolyn Liew Ning yang merupakan ahli Girl Up BruGen.
Sesi berkenaan memberi pendedahan mengenai format, struktur serta elemen penting dalam penyediaan kertas cadangan yang tersusun dan profesional.
Para peserta turut mengikuti sesi Etika Penulisan Surat Rasmi dan E-mel Profesional serta penulisan Minit Mesyuarat yang dikendalikan oleh Yang Dipertua MBB, Dayang Nurul Izyan binti Anver.
Sesi berkenaan menekankan kepentingan komunikasi rasmi yang berkesan serta teknik penyediaan minit mesyuarat yang tepat dan sistematik.
Selain itu, sesi Kesihatan Mental dan Resilience yang disampaikan oleh Junior Consultant Epipeople Management & Consultancy Sdn. Bhd., Dayang Siti Nur Syahmina binti Zaini, bersama pasukannya, telah memberi pendedahan mengenai kepentingan menjaga kesejahteraan mental, pengurusan tekanan serta strategi membina daya tahan diri dalam menghadapi cabaran akademik dan kerjaya.
Program diakhiri dengan sesi refleksi yang dikendalikan oleh Presiden Girl Up BruGen, Dayang Nur Qestenna Wardeena binti Haji Chalideon-Bam, yang memberi peluang kepada para peserta untuk berkongsi pengalaman dan pembelajaran yang diperoleh sepanjang bengkel diadakan.
Penganjuran bengkel berkenaan mencerminkan komitmen UNISSA melalui OCeAN dan rakan-rakan strategiknya dalam memperkasa pembangunan belia menerusi pendedahan kepada kemahiran profesional, komunikasi berkesan serta pembangunan sahsiah diri.
Program berkenaan juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 8 (Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi) serta SDG 17 (Perkongsian untuk Mencapai Matlamat).