Perjumpaan kongsi perkembangan semasa Pengakap Tunas

3 Sep 2026 - 6:30am

Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 2 September. - Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan mengadakan Perjumpaan Bersama Guru-guru Kanan Kokurikulum Sekolah-sekolah Rendah Kerajaan dan Pendidikan Swasta serta Guru Pengawas Pengakap Tunas diadakan di Bilik Persidangan, Tingkat 4, Bangunan Ibu Pejabat PPNBD, hari ini.

Perjumpaan tersebut bertujuan untuk memberikan penerangan dan mengongsikan perkembangan semasa kegiatan Pengakap Tunas, khususnya mengenai penganjuran 5th Brunei Darussalam Cubboree 2026 yang akan datang.

Selain itu, sesi berkenaan turut memberikan penerangan awal kepada pihak sekolah mengenai penyertaan, persediaan dan perkara-perkara berkaitan dengan penganjuran Cubboree, bagi memastikan Guru-guru Kanan Kokurikulum dan Guru Pengawas Pasukan Pengakap di sekolah-sekolah mendapat maklumat yang jelas dan lengkap mengenai program tersebut.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Skip Haji Junaidi bin Haji Hussin.

Sesi kemudiannya diteruskan dengan taklimat dan penerangan mengenai 5th Brunei Darussalam Cubboree 2026 yang disampaikan oleh Pesuruhjaya Ibu Pejabat Program Belia, Skip Arif bin Abdul Hadi dan Penyelaras Pasukan Pengakap Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Skip Haji Mohammad Amin bin Haji Abdullah.

Perjumpaan tersebut turut menjadi platform bagi mengeratkan kerjasama dan hubungan antara PPNBD dengan pihak sekolah dalam memperkukuh pelaksanaan aktiviti Pengakap Tunas di peringkat sekolah rendah.

Kerjasama yang berterusan antara PPNBD, JPKK dan pihak sekolah adalah penting dalam memastikan program-program kepengakapan dapat dilaksanakan dengan teratur, berkesan dan memberi manfaat kepada para Pengakap Tunas, khususnya dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin, berdikari, berkemahiran serta mempunyai semangat kerjasama dan kepimpinan.