Penyerahan bendera kepada kontinjen NBD ke Worldskills Shanghai

16 Sep 2026 - 8:04am

Oleh : Pg. Syi’aruddin Pg. Dauddin

Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman

BERAKAS, Selasa, 15 September. - Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan Politeknik Brunei pagi tadi mengadakan Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam (NBD) ke WorldSkills Shanghai 2026, bertempat di Longhouse Training Restaurant, IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal, Berakas, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyerahkan bendera NBD kepada kontinjen negara ialah  Pemangku Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Pengarah Pendidikan Teknik dan Ketua Pegawai Eksekutif IBTE,  Dr. Haji Mohd. Zamri bin Haji Sabli semasa menyampaikan ucapannya pada majlis berkenaan antara lain menjelaskan, bagi pertandingan kali ini, kontinjen NBD akan bertanding dalam tiga bidang kemahiran, iaitu 'Cooking' yang diwakili oleh pelajar IBTE, serta 'IT Network Systems Administration' dan 'Mechanical Engineering CAD' yang diwakili oleh pelajar dari Politeknik Brunei.

"Pada hari ini, apabila bendera kebangsaan diserahkan kepada kontinjen kita NBD, ia bukan sekadar penyerahan sebuah bendera.

"Ia adalah penyerahan amanah untuk membawa nama negara. Bertandinglah dengan penuh keyakinan, disiplin dan semangat kesukanan. Berikan yang terbaik, hormati rakan-rakan peserta dan belajarlah daripada setiap pengalaman yang akan lalui nanti," ujarnya.

Beliau seterusnya mengingatkan bahawa kejayaan bukan hanya diukur melalui pingat atau kedudukan.

Kejayaan juga terletak pada keberanian untuk mencabar diri, kesungguhan untuk mencapai standard yang lebih tinggi dan pengalaman yang dibawa pulang untuk dikongsi demi kemajuan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara, tambahnya lagi.

WorldSkills Shanghai 2026, yang akan berlangsung dari 22 hingga 27 September 2026 di Shanghai, Republik Rakyat China, merupakan Pertandingan WorldSkills yang ke-48 dan akan menghimpunkan lebih daripada 1,400 peserta muda dari lebih 70 buah negara dan wilayah untuk bertanding dalam 64 bidang kemahiran yang merangkumi bidang teknikal dan vokasional tradisional serta bidang-bidang baharu yang dipacu oleh pendigitalan dan teknologi terkini.

Pertandingan WorldSkills menyediakan platform antarabangsa bagi golongan belia berkemahiran untuk mempamerkan keupayaan teknikal, kreativiti, ketepatan, kemahiran menyelesaikan masalah serta profesionalisme berdasarkan piawaian antarabangsa.

Selain sebagai pertandingan kemahiran, WorldSkills turut menjadi wadah penting bagi pembangunan kemahiran, inovasi, pertukaran pengetahuan dan kerjasama antarabangsa yang melibatkan golongan belia, pakar kemahiran, wakil industri, pendidik serta pembuat dasar.

Bagi NBD, penyertaan di WorldSkills Shanghai 2026 memberikan peluang kepada anak-anak tempatan untuk membanding aras kemahiran mereka di peringkat antarabangsa, meningkatkan keyakinan dan profesionalisme, memperoleh pendedahan antarabangsa serta mempelajari amalan terbaik dan teknologi terkini dalam bidang kemahiran. Pengalaman tersebut juga dapat menyemai minat terhadap kerjaya berkemahiran dan meningkatkan pengiktirafan terhadap laluan TVET.

Penyertaan di WorldSkills juga menyumbang kepada usaha berterusan dalam memperkukuh sistem TVET negara melalui penandaarasan piawaian kemahiran, pendedahan kepada teknologi baharu dan kehendak industri, serta perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik bersama institusi TVET dan pakar antarabangsa.

Pendedahan ini seterusnya dapat menyokong usaha dalam memperkasa kurikulum, latihan dan pembangunan kemahiran agar selaras dengan keperluan industri yang sentiasa berubah.

Majlis Penyerahan Bendera ini merupakan satu lagi tanda komitmen NBD dalam melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, berdaya saing dan bertaraf antarabangsa, di samping mengangkat imej dan nilai TVET sebagai salah satu laluan penting dalam pembangunan kerjaya dan masa depan golongan belia.

Kontinjen NBD kini bersedia untuk menggalas amanah dan membawa nama negara ke pentas antarabangsa, dengan harapan agar penyertaan ini akan menjadi pengalaman bermakna dalam membina generasi belia yang berkemahiran, berkeyakinan dan cemerlang.