Penyerahan bendera kepada kontinjen NBD ke Sukan Asia Ke-20

15 Sep 2026 - 7:35am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji SulaimanFoto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

BERAKAS, Isnin, 14 September. – Negara Brunei Darussalam (NBD) akan menghantar seramai 12 ahli kontinjen, yang terdiri daripada enam atlet dan enam pegawai bagi temasya Sukan Asia Ke-20 Tahun 2026, yang akan diadakan di Wilayah Aichi, Nagoya, Jepun.

Enam atlet tersebut, iaitu lima atlet lelaki dan seorang atlet wanita akan bersaing dalam dua acara sukan iaitu karate dan wusyu. Sementara itu, barisan pegawai kontinjen terdiri daripada seorang Chef de Mission (CDM), seorang ketua urus setia, seorang pegawai perubatan dan tiga orang jurulatih.

Sehubungan itu, Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada Kontinjen NBD ke Sukan Asia Ke-20, Aichi-Nagoya-Japan 2026 berlangsung di Bilik Hijau, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini.

Berangkat menyempurnakan majlis ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC).

Dalam sembah alu-aluannya, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha mengingatkan seluruh kontinjen negara, bahawa penyertaan ke Sukan Asia Ke-20 merupakan satu amanah dan penghormatan.

“Biskita bukan sahaja hadir sebagai atlet, jurulatih atau pegawai, tetapi hadir sebagai satu pasukan yang membawa nama NBD. Justeru, bergeraklah sebagai satu pasukan, saling menyokong dan saling mempercayai. Kejayaan seorang atlet tidak pernah berdiri sendiri.

“Di belakang setiap pencapaian ada jurulatih yang membimbing, pegawai yang menguruskan kebajikan dan persiapan serta keluarga yang tidak putus-putus memberikan sokongan dan doa,” sembah Yang Berhormat.

Sehubungan itu, para jurulatih dan pegawai kontinjen diseru supaya memberikan perhatian sepenuhnya kepada keperluan para atlet sepanjang berada di Jepun.

Para atlet, sembah Yang Berhormat juga hendaklah dipastikan bukan sahaja bersedia dari segi fizikal dan teknikal, tetapi juga mempunyai keyakinan, dan ketahanan diri untuk menghadapi tekanan pertandingan. Dalam pada itu, kebajikan, keselamatan dan kesihatan setiap atlet hendaklah sentiasa menjadi keutamaan.

Kepada para atlet, Yang Berhormat menyeru agar mereka bertanding dengan penuh keyakinan dan keberanian apabila melangkah ke gelanggang, di samping memberikan yang terbaik daripada segala latihan, pengorbanan dan persediaan yang telah dilalui.

“Pamerkanlah mutu prestasi yang tertinggi, kekalkan kecekalan atau azam yang tinggi sehingga ke akhir perlawanan, dan teguhkan tekad menghadapi sebarang rintangan. Jadikan disiplin dan keperibadian mulia sebagai perisai ‘biskita’ sepanjang berada di sana. Jagalah nama baik negara, santuni adat serta peraturan tuan rumah, dan jalinlah semangat persaudaraan bersama atlet antarabangsa.

“Ingatlah, pakaian kontinjen dan bendera di badan ‘biskita’, adalah lambang kemuliaan, dan imej, NBD. Kibarkan ia dengan penuh megah, megahlah dengan penuh tanggungjawab,” sembah Yang Berhormat.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah kemudiannya berkenan mengurniakan sabda dan seterusnya menyempurnakan penyerahan Bendera NBD kepada Dayang Nur Iffah Natasha Sofea binti Abdullah selaku Chef de Mission Kontinjen NBD ke Sukan Asia Ke-20, Aichi-Nagoya-Japan 2026.

Majlis diakhiri dengan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Metassan bin Haji Tahir, diikuti dengan sesi bergambar ramai bersama Duli Yang Teramat Mulia.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Chargé d'Affaires ad interim, Miura Keiko, wakil Kedutaan Jepun di NBD; Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS); Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS, Dr. Dayang Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah; Timbalan Setiausaha Tetap, KKBS, Dayang Hajah Noridah binti Abdul Hamid; Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan; wakil-wakil Persatuan Sukan Kebangsaan dan Pegawai-pegawai Kanan KKBS serta keluarga atlet.

Sukan Asia merupakan temasya sukan peringkat benua dalam kalangan atlet dari seluruh Asia yang diadakan setiap empat tahun sekali. Kejohanan tersebut dianjurkan oleh Olympic Council of Asia (OCA) dan ia digambarkan sebagai temasya sukan kedua terbesar selepas Sukan Olimpik dan pada tahun ini ia diadakan di Wilayah Aichi, Nagoya, Jepun bermula pada 19 September hingga 4 Oktober 2026.

NBD mula mengikuti Sukan Asia pada tahun 1990. Kali terakhir negara menyertai kejohanan tersebut ialah pada tahun 2022 yang diadakan di Hangzhou, China. Kontinjen negara dijangka bertolak ke Nagoya, Jepun pada 15 September 2026.