Pengiktirafan pemangkin semangat terus mencurah bakti dalam pendidikan

24 Sep 2026 - 12:05am

Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah

BERAKAS, Rabu, 23 September. - Pengiktirafan dan anugerah yang diterima bukan sahaja menjadi penghargaan terhadap jasa dan sumbangan sepanjang perkhidmatan, malah mampu menjadi pemangkin semangat kepada warga pendidik untuk terus mencurahkan bakti dalam meningkatkan mutu pendidikan negara.

Pada Sambutan Hari Guru ke-36 bagi Tahun 2026, Anugerah Guru Berjasa telah diberikan kepada empat orang penerima iaitu Dato Paduka Dr. Haji Ismail bin Haji Duraman; Awang Haji Jamal bin Haji Kahar; Dayang Hajah Sarbanun binti Junit dan Awang Haji Abdul Aziz bin Haji Mohd. Hassan.

Dalam temu bual bersama Pelita Brunei, Dato Paduka Dr. Haji Ismail dan Awang Haji Abdul Aziz berkongsi perjalanan serta pengalaman mereka sepanjang berkhidmat sebagai pendidik.

Menurut Dato Paduka Dr. Haji Ismail yang kini berusia 72 tahun, pengalaman berkhidmat sebagai guru sebelum meneruskan tanggungjawab dalam bidang pengurusan dan perancangan strategik memberikan peluang kepada beliau untuk terus menyumbang kepada pembangunan pendidikan, khususnya melalui penyelidikan.

Beliau menjelaskan, sepanjang berada dalam bidang penyelidikan, tumpuan turut diberikan kepada kajian berkaitan pendidikan serta aspek sosial dan ekonomi negara yang dapat menyumbang kepada pemahaman lebih mendalam mengenai perkembangan sosioekonomi negara.

Dato Paduka Dr. Haji Ismail telah menabur bakti dalam bidang pendidikan selama lebih kurang 35 tahun. Beliau mula berkhidmat pada tahun 1973 sebelum bersara pada tahun 2008. Jawatan terakhir beliau dalam perkhidmatan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah sebagai Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Semasa ditemu bual, beliau menyifatkan Anugerah Guru Berjasa yang diberikan merupakan satu penghargaan terhadap jasa dan sumbangan sepanjang berkhidmat sebagai guru. Pada masa yang sama, beliau berharap pengiktirafan seperti ini dapat menjadi motivasi dan sumber inspirasi kepada guru-guru yang masih berkhidmat untuk terus memberikan yang terbaik dalam bidang pendidikan.

Menyentuh mengenai perkembangan pengajian tinggi di negara ini, beliau berpandangan bahawa kewujudan pusat kajian yang kukuh adalah penting bagi sesebuah negara.

Menurutnya, pusat kajian tersebut dapat menjadi wadah bagi warga tempatan, khususnya generasi muda, untuk menjalankan penyelidikan berkaitan perkembangan sosioekonomi dan aspek lain yang mempunyai kepentingan kepada negara.

“Perlulah anak tempatan mengkaji tentang negara sendiri. Melalui kajian, kita dapat mengenal pasti perkara yang perlu diperbaiki, dipertingkatkan dan diwujudkan bagi menyokong perkembangan dan identiti negara pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan menjalinkan hubungan dengan institusi pengajian tinggi di luar negara bagi memperkukuh jaringan akademik serta memperluas bidang penyelidikan.

Katanya, kerjasama sedemikian membolehkan perkongsian ilmu dan kepakaran dilaksanakan, sekali gus membantu meningkatkan keupayaan penyelidikan tempatan.

Beliau berharap bidang pengajian tinggi dan penyelidikan akan terus berkembang dengan penglibatan lebih ramai warga tempatan dalam menghasilkan kajian yang dapat menyumbang kepada pembangunan serta kemajuan negara.

Sementara itu, seorang lagi penerima Anugerah Guru Berjasa, Awang Haji Abdul Aziz bin Haji Mohd. Hassan, menyifatkan pengiktirafan yang diterimanya sebagai satu penghargaan yang amat bermakna selepas lebih tiga dekad menabur bakti dalam bidang pendidikan.

Beliau memulakan kerjaya sebagi Guru Terlatih bermula pada tahun 1980 dan sebelum bersara pada tahun 2011, beliau bertugas di Pejabat Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan.

“Alhamdulillah, dengan amat bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin-Nya jua saya telah dianugerahkan sebagai salah seorang penerima Anugerah Guru Berjasa Ke-36 pada tahun ini,” ujarnya.

Menurut beliau, anugerah berkenaan bukan sahaja menjadi pengiktirafan terhadap sumbangan yang telah dicurahkan sepanjang perkhidmatan, malah menjadi pendorong dan motivasi kepada warga pendidik untuk terus memberikan sumbangan dalam bidang pengajaran serta pengurusan hal ehwal pengajaran dan pembelajaran.

Beliau turut menekankan kepentingan warga pendidik untuk terus menyesuaikan kaedah pengajaran dengan perkembangan semasa, khususnya melalui penggunaan Teknologi Maklumat (IT) dan Kecerdasan Buatan (AI), bagi mempertingkat keberkesanan penyampaian ilmu kepada para pelajar.

Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan bahawa pendidikan tidak seharusnya tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata, tetapi turut perlu memberi penekanan kepada penerapan nilai-nilai murni dan pembentukan sahsiah pelajar.

Melihat keadaan perkembangan bidang pendidikan di negara ini terus mengalami perubahan dari semasa ke semasa, selaras dengan kemajuan teknologi dan tuntutan pendidikan yang semakin dinamik, beliau berkata, pada ketika itu, penggunaan teknologi seperti komputer dan telefon mudah alih belum ada, sekali gus para guru lebih banyak bergantung kepada bahan-bahan pengajaran yang dihasilkan sendiri.

“Perkembangan pendidikan memang mengalami perubahan yang berterusan mengikut perkembangan zaman,” katanya.

Jelasnya, perubahan tersebut turut disokong dengan pelaksanaan latihan secara berterusan bagi para guru, khususnya dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang kaedah pengajaran.

Menurut beliau, latihan yang diberikan kepada para guru penting bagi memastikan kaedah pengajaran sentiasa relevan dengan perkembangan semasa, termasuk dalam penggunaan Teknologi Maklumat (IT).

“Guru-guru diberikan program latihan berterusan dalam bidang kaedah pengajaran mengikut perkembangan, termasuk sekarang penggunaan IT dan yang terbaru ialah Kecerdasan Buatan (AI),” ujarnya.

Beliau menambah, kemajuan teknologi turut memberikan kemudahan kepada para guru dalam membuat rujukan, penyelidikan, menyediakan bahan pengajaran serta menghasilkan alat bantu mengajar.

Katanya, kemudahan teknologi yang berada di hujung jari membolehkan proses mendapatkan maklumat dan bahan pengajaran dilakukan dengan lebih mudah dan pantas.

“Untuk membuat rujukan, penyelidikan, pengajaran dan menyediakan alat bantu mengajar memang mudah sekali kerana ia berada di hujung jari sahaja. Jadi, pengajaran pun lebih berkesan pada masa ini kerana adanya bantuan teknologi,” katanya.

Beliau turut melihat penggunaan teknologi sebagai satu perkembangan yang dapat membantu memperkaya kaedah pengajaran, di samping memberikan ruang kepada guru untuk menyesuaikan pendekatan mereka dengan keperluan pendidikan masa kini.