Oleh : Nurdiyanah Rajami
Foto : Nurdiyanah Rajami, Ihsan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Liang
BELAIT, Rabu, 21 Oktober. – Dalam usaha meningkatkan kefahaman para Muslimah terhadap kandungan dan pengajaran Al-Quran, serta menggalakkan mereka membaca kitab tafsir bagi menghayati dan mengamalkan ajaran Al-Quran dalam kehidupan seharian, Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Liang, mengadakan Program Tadabbur Al-Quran bagi Kelas Bimbingan Muslimah, Tahun 2026, pagi tadi.
Program yang diadakan di Masjid Kampung Sungai Liang, Daerah Belait berkenaan telah dihadiri oleh seramai 120 orang yang terdiri daripada ahli jawatankuasa takmir dan para Muslimah Masjid Kampung Sungai Liang; Muslimah daripada beberapa buah masjid di Daerah Belait; serta Muslimah dari Masjid Kampung Danau dan Masjid Kampung Telisai di Daerah Tutong.
Antara pengisian program berkenaan termasuklah membaca Surah At-Takathur secara beramai-ramai, diikuti dengan ceramah ‘tadabbur’ mengenai surah berkenaan yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Hal Ehwal Muslimah, JHEM, KHEU, Dayang Noraini Yanti binti Haji Hussin.
Selain itu, program turut diserikan dengan sesi penyampaian sumbangan wakaf buku kepada imam masjid berkenaan.
Dalam sesi ‘tadabbur’ Surah At-Takathur, Dayang Noraini Yanti antaranya menyentuh mengenai peringatan tentang kematian, hakikat kehidupan di dunia serta kepentingan membuat persediaan untuk menghadapi kehidupan di akhirat.
Melalui program berkenaan, para peserta diharap akan lebih terdorong untuk mendalami tafsir Al-Quran, mengambil iktibar daripada ayat-ayat yang dipelajari, serta menerapkan nilai-nilai murni dan pengajaran Al-Quran dalam kehidupan seharian.
Di samping itu, program berkenaan diharap dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan Muslimah yang mengikuti Kelas Bimbingan Muslimah, selain memupuk minat terhadap pembelajaran, penghayatan dan pengamalan ajaran Al-Quran secara berterusan.