Penghayatan Al-Quran membentuk akhlak mulia

29 Og 2026 - 5:30am

Berita dan Foto : Ihsan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Besar

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 28 Ogos. - Penghayatan terhadap Al-Quran melalui amalan bertadarus perlu dijadikan panduan dan pengajaran dalam kehidupan seharian bagi melahirkan insan yang berakhlak mulia.

Penasihat I Ahli Jawatankuasa Takmir (AJK) Masjid Kampung Sungai Besar, Leftenan Kolonel (B) Awang Haji Zaini bin Awang Haji Damit berkata, beliau berasa gembira atas komitmen dan kesungguhan para peserta khatam untuk terus mendekati Al-Quran serta menghayati ajaran yang terkandung dalam kitab suci berkenaan.

“Amalan membaca Al-Quran secara istiqamah sudah tentu akan membantu menyuburkan kerohanian, malah mampu menjadi panduan dalam membentuk kehidupan yang lebih tersusun dan diredai Allah Subhanahu Wata’ala,” jelasnya ketika berucap pada Majlis Khatam Al-Quran yang disertai oleh AJK Masjid serta Ahli Tadarus Subuh Masjid Kampung Sungai Besar.

Beliau yang juga Ketua Kampung Sungai Besar, Kampung Serdang dan Kampung Sungai Belukut turut menyampaikan penghargaan kepada para peserta yang terus menunjukkan komitmen dengan meluangkan masa mengikuti sesi tadarus Al-Quran setiap selepas menunaikan Sembahyang Fardu Subuh di masjid berkenaan.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Rasli bin Taram.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim bermula dari Surah Ad-Duha hingga Surah An-Nas secara beramai-ramai yang dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Sungai Besar, Pengiran Hassan Basri bin Pengiran Haji Ismail.

Beliau turut memimpin bacaan Takhtim dan Doa Khatam Al-Quran.

Majlis kemudiannya diselajurkan dengan bacaan Tahlil dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Awang Muhammad Hazman bin Haji Mohd. Hairol Azme.