Penerima Biasiswa 'Sultan's Scholar' tandatangani perjanjian

4 Sep 2026 - 7:35am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 3 September. - Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) mengadakan Majlis Penandatanganan Perjanjian Penganugerahan Biasiswa 'Sultan's Scholar' YSHHB bagi sesi pengajian tahun 2026/2027 bertempat di Dewan An-Naura, Tingkat 2, Kompleks YSHHB, di ibu negara.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB.

Majlis Penandatanganan Perjanjian bagi penerima anugerah biasiswa 'Sultan's Scholar' YSHHB adalah kesinambungan daripada Majlis Penganugerahan Biasiswa 'Sultan's Scholar' YSHHB 2026/2027 yang telah berlangsung pada hari ini di Istana Nurul Iman.

Seramai lima penuntut yang berjaya menerima anugerah biasiswa 'Sultan's Scholar' YSHHB bagi sesi pengajian 2026/2027 hadir menandatangani perjanjian pada majlis berkenaan.

Mereka ialah Dayangku Nurul Fadhlina Natasya binti Pengiran Haji Shahril Azman, lepasan Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah, yang akan melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Syariah Islamiyyah (BA Syariah Islamiyyah) di Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir.

Sementara Dayang Ah Lee Jing Jing, lepasan Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, yang akan melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Pergigian (Bachelor of Dental Science) di Trinity College Dublin, Republik Ireland;

Manakala Awang Syed Abd. Rahman bin Syed Azmal, lepasan Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), yang akan melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Elektrik (Bachelor of Engineering-Electrical Engineering) di University of New South Wales, Sydney, Australia.

Sementara Dayang Syasya Amalyna binti Haji Mohamad Saiful Bahrin, juga lepasan JIS pula akan melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (Medicine MBChB) di University of Dundee, Scotland, United Kingdom;

Manakala Dayang Farah Alyah binti Abdul Rahman, juga lepasan JIS, yang akan melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Perancangan Bandar dan Hartanah (BSc Urban Planning and Real Estate) di University College London, United Kingdom.

Sementara itu, seorang penerima anugerah Biasiswa 'Sultan's Scholar' YSHHB bagi sesi pengajian 2022/2023, Awang Haji Mohammad Wajdi bin Mohammad Ja'afar, yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana, turut hadir bagi menandatangani perjanjian pada majlis berkenaan.

Beliau telah menamatkan pengajian di peringkat Sarjana Muda Kejuruteraan Awam (Bachelor of Engineering in Civil Engineering) di Universiti Edinburgh, United Kingdom dan seterusnya akan melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Sains dalam Kejuruteraan Struktur Am (Master of Science in General Structural Engineering) di Imperial College London, United Kingdom.

Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Pegawai Buhuth, Jabatan Mufti Kerajaan, Pengiran Haji Muhammad Wafiuddin bin Pengiran Haji Zulkarnain yang juga merupakan alumni 'Sultan's Scholar' YSHHB.

Acara kemudiannya diteruskan dengan menandatangani perjanjian penerimaan biasiswa bagi kelima-lima penerima biasiswa yang ditemani bersama dua orang penjamin yang terdiri daripada ibu bapa mereka atau ahli keluarga terdekat.

Penandatanganan perjanjian bagi pihak YSHHB dilakukan oleh Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan YSHHB bersama dengan Penolong Pengarah Urusan YSHHB, Mejar (B) Awang Sopian bin Haji Mohammad Yassin, dengan disaksikan oleh tetamu kehormat majlis.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon keberkatan khusus bagi para penerima biasiswa 'Sultan's Scholar' YSHHB yang akan bertolak dari Negara Brunei Darussalam bagi meneruskan pengajian masing-masing.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Ahli-ahli Lembaga Pengarah YSHHB; Ahli-ahli Jawatankuasa Pandu Skim Biasiswa 'Sultan's Scholar' YSHHB; Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU); Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Skim Biasiswa 'Sultan's Scholar' YSHHB, para ibu bapa dan ahli keluarga penerima anugerah biasiswa 'Sultan's Scholar' YSHHB; pegawai-pegawai kanan jabatan kerajaan yang berkenaan dan pegawai-pegawai YSHHB; alumni 'Sultan's Scholar' YSHHB dan sebahagian pengetua-pengetua dari institusi-institusi tingkatan enam di seluruh negara.

Sejajar dengan salah satu matlamat utama Wawasan Brunei 2035, iaitu bagi melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, Skim Biasiswa 'Sultan's Scholar' YSHHB adalah program pembangunan kapasiti manusia yang bertujuan bagi melahirkan generasi penerus yang akan membarisi tampuk kepimpinan bagi kepentingan agama, bangsa, raja dan negara serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.