Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
KATOK, Rabu, 16 September. - Tujuh dekad merupakan satu tempoh yang panjang dalam perjalanan pendidikan ugama formal di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Bermula dengan penubuhan sekolah-sekolah ugama pada 1956, sistem berkenaan terus berkembang dari semasa ke semasa selaras dengan perkembangan pendidikan dan keperluan masyarakat. Sepanjang tempoh berkenaan, pendidikan ugama memainkan peranan penting dalam memberikan asas pengetahuan ugama, di samping membentuk akhlak, sahsiah dan jati diri generasi muda.
Pada 16 September 1956, Sistem Pendidikan Ugama Formal mula dilaksanakan secara rasmi melalui penubuhan persekolahan ugama yang diasaskan oleh Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien.
Penubuhan sekolah-sekolah ugama berkenaan menjadi antara titik penting dalam sejarah pendidikan negara apabila pendidikan ugama mula dilaksanakan secara lebih tersusun melalui sistem persekolahan yang teratur.
Sejak itu, sistem berkenaan terus dikembangkan dan diperkukuh, termasuk dari segi kurikulum, sistem persekolahan serta kaedah pengajaran dan pembelajaran. Perkembangan berkenaan turut memperlihatkan peranan pendidikan ugama dalam membentuk generasi yang mempunyai pengetahuan dan kefahaman ugama serta mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian.
Sehubungan itu, bagi memperingati 70 tahun perjalanan pendidikan ugama formal di negara ini, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) pagi tadi mengadakan Majlis Kemuncak Sambutan Semarak Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal yang diadakan di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, di sini.
Sambutan berkenaan mengangkat tema 'Tujuh Dekad Pendidikan Ugama : Evolusi, Transformasi dan Legasi', yang mengetengahkan perkembangan pendidikan ugama sepanjang tujuh dekad, usaha memperkasa sistem pendidikan serta keseimbangan warisan ilmu, nilai dan akhlak kepada generasi seterusnya.
Sepanjang sambutan, pelbagai aktiviti turut diadakan antaranya Peraduan Al-Quran (Murattal) secara berkumpulan bagi tenaga pengajar di bawah JPI, selain kejohanan futsal, badminton, bola jaring dan ‘tenpin’ boling yang melibatkan jabatan-jabatan di bawah KHEU.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi acara kemuncak berkenaan, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Juga hadir, Setiausaha Tetap, KHEU, Dr. Haji Mohammmed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad; Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Awang Haji Arman bin Haji Asmad; Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; serta pegawai-pegawai kanan KHEU.
Turut hadir, seramai 800 pegawai dan tenaga pengajar di bawah KHEU.
Majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran buku 'Tujuh Dekad Pendidikan Ugama : Evolusi, Transformasi dan Legasi', diikuti dengan tayangan klip video bertajuk 'Tujuh Dekad Pendidikan Ugama Formal'.
Antara pengisian utama acara kemuncak ialah Forum Khas Bual Bicara yang membincangkan sejarah, perkembangan dan hala tuju pendidikan ugama formal sepanjang tujuh dekad.
Forum berkenaan menampilkan dua ahli panel jemputan, iaitu Yang Dimuliakan Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman dan Dayang Hajah Mastuyah binti Abdul Ghani; manakala Awang Haji Mohd. Jaya bin Haji Metussin selaku Moderator.
Persembahan lagu tema Sambutan Semarak Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal, 'Generasi Beriman' turut memeriahkan majlis yang dipersembahkan oleh gabungan mahasiswa dan mahasiswi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), pelajar-pelajar sekolah Arab, sekolah-sekolah ugama dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Pegawai Pelajaran Ugama, JPI, KHEU, Awang Mohammad Zamey bin Haji Nayan.