Pendedahan, pengetahuan asas mengenai keusahawanan, kemahiran praktikal

14 Sep 2026 - 5:28am

Siaran Akhbar dan Foto : Persatuan Aftercare Support Association

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 13 September. - Dalam usaha berterusan untuk memperkukuh sokongan terhadap Rakan Seliaan (RS), Persatuan Aftercare Support Association (AFSA) meneruskan komitmennya dalam menyokong proses reintegrasi dan pemerkasaan melalui penganjuran Program Asas Perniagaan Keusahawanan berlangsung di Astana Berlian, Jalan Komersial, Kiulap.

Program tersebut dikendalikan dengan kerjasama ahli AFSA, Khairol Yazimannudin bin Haji Borhanuddin dan Awangku Md. Nazirul Mubin bin Pengiran Haji Abd. Rahman.

Program tersebut disertai oleh seramai 12 peserta, terdiri daripada tujuh peserta lelaki dan lima peserta perempuan dari kalangan peserta di bawah Skim Pelepasan Sementara (SPS) dan RS.

Program ini bertujuan memberikan pendedahan dan pengetahuan asas mengenai keusahawanan serta kemahiran praktikal dalam membangunkan idea perniagaan.

Sepanjang program, para peserta didedahkan kepada asas keusahawanan, motivasi untuk berniaga, jenis-jenis perniagaan, proses pendaftaran perniagaan serta penyediaan ‘business plan’. Para peserta turut menjalani aktiviti berkumpulan untuk membina dan membentangkan idea perniagaan masing-masing.

Pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh diharap dapat menjadi asas kepada para peserta untuk memulakan perniagaan kecil, sekali gus meningkatkan keyakinan untuk berdikari dan menjana pendapatan.

Turut hadir, Yang Dipertua Persatuan AFSA, Dayang Hajah Juhana binti Haji Mohd. Jaya; Ahli-ahli AFSA serta wakil daripada Biro Kawalan Narkotik, yang turut hadir memberikan sokongan terhadap pelaksanaan program tersebut.